Tuesday, 14 February 2012

Kuasa Wanita Dalam Politik


Golongan wanita membentuk hampir 50 peratus daripada penduduk Malaysia iaitu kurang sedikit daripada lelaki. Dengan jumlah 13,0776.8 juta, wanita telah memberi impak yang sangat ketara kepada hala tuju politik dan kerajaan negara. 

Pengaruh kepimpinan wanita dalam sistem pentadbiran kerajaan masih jauh daripada yang dijangkakan walaupun mereka sebahagian besarnya mendapat pendidikan dan peluang pekerjaan yang sama rata dengan lelaki. Dalam laporan International Parliament Union 2005 menyatakan terdapat 20 buah negara yang telah mencapai 30 peratus wakil wanita dalam parliamen di mana Rwanda menerajui jumlah ini dengan 48.8 peratus, diikuti Sweden 45.3 peratus, Norway 37.9 peratus, Finland 37.5 peratus, Denmark 39.7 peratus dan Belanda 36.7 peratus. Kejayaan negara-negara ini menambah penyertaan wanita dalam pentadbiran kerajaan adalah kerana komitmen yang sangat tinggi bagi menjayakan resolusi konvensyen antarabangsa seperti Beijing Platform for Action, The Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (CEDAW) dan Commonwealth Plan of Action.

Di Malaysia, senario penyertaan wanita di sektor kerajaan tidak selari dengan penyertaan mereka di dalam pilihan raya. Walaupun tidak ramai golongan wanita yang terlibat dalam pemilihan di Dewan Rakyat iaitu di bawah 10 peratus, tetapi peranan mereka menentukan kemenangan sesebuah parti politik semakin membesar. Kesedaran berpolitik wanita ini dikatakan berpunca daripada tahap pendidikan yang semakin baik dan memberi akses kepada percambahan maklumat yang lebih banyak.

Selain itu kewujudan pertubuhan bukan kerajaan yang berperanan memberi kesedaran ke atas hak-hak wanita telah membantu lebih ramai golongan profesional wanita dan masyarakat luar bandar untuk mengambil bahagian dalam politik semasa.

Kemunculan tokoh-tokoh politik wanita sama ada dalam parti kerajaan atau pembangkang menjadikan keghairahan golongan wanita untuk mengambil tahu isu-isu politik turut bertambah.

Golongan wanita muda yang semakin berminat dengan politik digerakkan secara teratur oleh kebanyakan parti politik. UMNO dengan Puteri UMNO yang mensasarkan golongan wanita Melayu di bawah 40 tahun sebagai ahli manakala PAS menubuhkan An Nisa sebagai strategi jangka panjang menarik golongan wanita muda yang mempunyai aspirasi Islam.

Perancangan yang bersistematik ini memantapkan jentera kekuatan parti-parti politik di Malaysia dan menjamin amalan demokrasi terus subur. Penyuburan minda dan jiwa pemimpin-pemimpin pelapis memberi ruang kepada pembinaan watak dan peribadi bakal pemimpin yang lebih berprinsip, tegas dan ada idealisme yang tinggi.

Penyertaan wanita profesional dan berkerjaya bakal mengubah persepsi masyarakat terhadap peranan dan sumbangan mereka dalam iklim politik negara. Jawatan doktor, ehli ekonomi, peguam dan aktivis sosial bukanlah penghalang kepada penglibatan wanita yang lebih meluas dalam masyarakat dan negara.

Peranan kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mempromosi kesaksamaan gender melambangkan kesungguhan Malaysia untuk berada sebaris dengan negara-negara lain yang telah berusaha meningkatkan penyertaan wanita dalam politik. Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesaksamaan Gender yang diasaskan pada 6 Disember 2004 adalah sebagai langkah awal menunjukkan kesediaan dan komitmen kerajaan bagi memartabatkan kedudukan wanita di Malaysia seiring dengan arus pembangunan negara.

Objektif jawatankuasa ini ialah meletakkan kesaksamaan gender sebagai satu agenda utama kerajaan supaya peka terhadap hal ehwal dan pembangunan wanita, dan memastikan segala peraturan dan dasar kerajaan akan lebih sensitif kepada keseimbangan antara lelaki dan wanita yang akhirnya akan membentuk sebuah negara Malaysia yang lebih maju, progresif dan seimbang. 

Manakala bidang rujukan bagi jawatankuasa ini merangkumi pelbagai aspek seperti:

i. menggubal dasar, strategi dan program bagi mencapai kesaksamaan gender dalam negara;
ii. kesaksamaan gender dalam sektor kerajaan dan swasta;
iii. mengenal pasti, mengkaji serta memperakukan pindaan kepada undang-undang dan peraturan kerajaan yang peka gender;
iv. memastikan dan memantau pelaksanaan obligasi dan komitmen negara di bawah konvensyen antarabangsa mengenai kesaksamaan gender, misalnya Beijing Platform for Action, The Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (CEDAW) dan Commonwealth Plan of Action; dan
v. memantau dan menyelaraskan langkah-langkah bagi mencapai kesaksamaan gender dalam semua sektor dan di semua peringkat.

Langkah seterusnya bagi menggalakkan penyertaan wanita dalam isu-isu yang sentiasa menjadi perhatian, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kesaksamaan Gender bersetuju supaya dilantik pegawai gred 54 dan ke atas sebagai gender focal point bagi setiap kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sebagai penyelaras.

Bagi melaksanakan Dasar Wanita Negara, Pelan Tindakan Pembangunan Wanita dan keputusan-keputusan yang telah diambil oleh Kerajaan Malaysia di peringkat antarabangsa, khususnya pelaksanaan Pelan Bertindak Beijing dan Convention on the Elimination of All Forms of Discrimination Against Women (CEDAW), KPWKM telah memberikan tumpuan kepada bidang-bidang keutamaan seperti berikut: 

i. Wanita dan kemiskinan
ii. Pendidikan dan latihan wanita
iii. Wanita dan kesihatan
iv. Keganasan terhadap wanita
v. Wanita dan ekonomi
vi. Wanita dalam bidang politik dan pembuat keputusan
vii. Wanita dan media
viii. Hak-asasi wanita
ix. Wanita dan alam sekitar
x. Pembangunan kanak-kanak perempuan, dan
xi. Pengukuhan mekanisme pembangunan wanita.

Bidang-bidang keutamaan di atas jelas menunjukkan bahawa isu pembangunan wanita dan kesaksamaan gender merupakan isu yang bertindan lapis dan pelaksanaan program dan projek yang berkaitan memerlukan penglibatan, kerjasama dan sokongan daripada kementerian dan agensi kerajaan yang berkaitan, khususnya sokongan kepakaran dan kemahiran dalam bidang-bidang tertentu. 

Peluang yang diberikan kepada kerajaan bagi memajukan penyertaan wanita dalam sektor kerajaan dan juga galakan berpolitik semakin banyak dan meluas. Penyertaan yang ramai akan meningkatkan kesedaran golongan itu untuk mempertahankan hak dan memenuhi keperluan mereka khususnya ketika kesedaran terhadap hak wanita telah lama diperjuangkan oleh wanita Barat. Dengan dasar dan program-program yang lebih pro wanita, penyertaan generasi muda wanita dalam politik Malaysia dijangka menjadi lebih ketara pada masa depan.

Majalah MASSA (Bil : 441) telah mengenengahkan satu isu yang kontroversial tetapi menarik untuk dibincangkan bersama. Artikel “Politik Hawa Makin Terhakis?” dan “Polemik Wanita Peneraju Negara” mungkin mengundang rasa tidak senang hati kepada sekalian kaum lelaki tetapi dipersetujui dengan sebulat suara oleh organisasi-organisasi yang mewakili kaum wanita, yang selama ini memperjuangkan kesamarataan dan pengiktirafan kaum wanita di negara ini. 
Kedua-dua artikel tersebut jelas menerangkan bahawa kita sedang menyaksikan gelombang perubahan politikus negara di mana kaum wanita ditafsirkan sebagai satu entiti dan kuasa yang amat besar magnitudnya.
Perubahan tersebut diramalkan dapat merubah evolusi politik dan pentadbiran negara ini di masa hadapan.
Kaum lelaki mungkin mengenepikan isu ini tanpa berfikir panjang tetapi realitinya, kuasa yang bakal beralih ke tangan kaum wanita ini adalah satu fenomena yang tidak dapat dielakkan dan tidak boleh dipandang ringan.
Seorang pensyarah sosiologi dari Universiti Malaya telah mengatakan bahawa Malaysia tidak mustahil bakal mempunyai Perdana Menteri pertama daripada wanita dalam tiga kali pilihanraya akan datang.
Menurut beliau, calon wanita adalah berpendidikan tinggi, bekerja stabil dan berkeluarga, walhal calon lelaki pula hanya berharap pada kedudukan dalam parti khasnya pengaruh ahli di peringkat akar umbi.
Hujah-hujah di atas tampak kontroversial tetapi pengamatan ilmiah beliau amat sukar untuk dinafikan.
Tetapi, saya berpendapat bahawa isu ini boleh dibahaskan dengan lebih lanjut dan terperinci dengan mengambil kira hujah-hujah dari perspektif agama dan pertembungan gender.
Saya tidak dapat nafikan juga bahawa ego lelaki saya mungkin membuatkan berat hati ini untuk menerima bulat-bulat kenyataan pensyarah sosiologi itu!
Ironinya, lagi banyak kita membuat perbandingan, lagi terserlah kelemahan kaum lelaki. Rasuah dan politik wang adalah beberapa perangai buruk yang didominasikan oleh kaum lelaki.
Skandal perempuan simpanan dan poligami yang berat sebelah juga merupakan isu negatif yang di pandang serius oleh masyarakat masa kini di dalam menilai seseorang pemimpin.
Jawatan di dalam parti politik pula di lihat sebagai lubuk untuk mencari kekayaan. Dengan lumrah kaum lelaki yang bertanggungjawab menyara keluarga, persepsi ini di lihat sebagai peluang untuk dijadikan periuk nasi keluarga dan status di dalam masyarakat.
Maka, berlakulah penyalahgunaan kedudukan dan perebutan kuasa yang keterlaluan dan sukar untuk dibenteras.
Ahli-ahli parti politik yang dianggap mengganggu-gugat jawatan mereka, akan ditindas atau diketepikan, biar pun ahli-ahli malang itu ingin berbakti untuk parti.
Malangnya juga, kes-kes keruntuhan sosial seperti buli, gengsterisme, lepak, perlumbaan haram, ponteng kelas dan dadah, turut banyak berpihak kepada remaja lelaki, yang dikatakan bakal menjadi pelapis dan harapan negara di masa hadapan.
Sungguh pun peratusannya kecil tetapi ianya ibarat api dalam sekam dan semakin merungsingkan.
Dalam masa yang sama, tanda-tanda awal yang menyokong pandangan pensyarah itu telah kelihatan dengan jelas. Secara relatifnya, kita kurang mendengar isu-isu negatif remaja perempuan.
Isu-isu keruntuhan akhlak kaum wanita seperti bohsia dan pelacuran pula, bergantung kepada ‘supply and demand’, di mana ‘demand’ nya ditentukan oleh kaum lelaki!
Jumlah kaum wanita di negara ini semakin meningkat dan mengatasi kaum lelaki. Bilangan pelajar-pelajar wanita di IPTA dan IPTS pula, amat memberangsangkan.
Saban tahun, statistik menunjukkan bahawa jumlah pelajar wanita semakin bertambah jika dibandingkan dengan pelajar lelaki.
Dalam jangka masa panjang, pertambahan kaum wanita di dalam institusi pelajaran tinggi mampu menyediakan ‘pool of talents’ yang ramai di dalam mencari calon-calon wanita yang terbaik untuk menjadi pemimpin pada masa hadapan.
Pemimpin-pemimpin wanita masa kini pula, lebih vokal, berintelek dan mempunyai perwatakan yang bersih, secara relatifnya.
Kedua-dua perbandingan di atas pasti akan membuatkan kita berfikir dan berasional.
Maka, jawapan kepada kemungkinan wanita menerajui negara ini dan penguasaan wanita di dalam politik serta pentadbiran negara ini terletak kepada penilaian kita sendiri, yang diharapkan tidak terlalu dipengaruhi dengan emosi dan ego jantina masing – masing!
Satu lagi perkara yang menarik perhatian saya ialah sebenarnya, negara Malaysia telah memperakui kuota minimum 30 peratus ahli Parlimen wanita dalam dewan rendah menjelang tahun 2005 iaitu tahun hadapan!
Perakuan ini dicapai bersama-sama 182 negara anggota International Parlimentary Union (IPU) atau pun Kesatuan Antara Parlimen Antarabangsa, sejak tahun 1995 lagi.
Jika kita merujuk kepada statistik pilihanraya 2004, hanya 23 daripada 219 orang wakil rakyat terdiri daripada kaum wanita iaitu hanya 10 peratus sahaja. Peratusan ini jauh tersasar daripada kuota minimum 30 peratus tersebut.

              Dr Novandri hasan Basri


No comments:

Post a Comment