Tuesday, 21 February 2012

MANJOI DILANDA BANJIR KILAT

Seramai 500 penduduk di Gugusan Manjoi terpaksa dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara di sini berikutan banjir yang berpunca akibat hujan lebat luar biasa awal pagi semalam dan merupakan banjir terburuk dalam tempoh 10 tahun di kawasan itu.

Banjir kilat berpunca daripada hujan lebat selama beberapa jam itu turut menyebabkan empat sekolah terpaksa ditutup semalam.

Paras air meningkat secara mendadak terutama di beberapa sungai berhampiran kawasan kampung seperti Sungai Pari, Sungai Tapah dan Sungai Kinta berikutan hujan lebat luar biasa bermula jam 2 pagi sebelum reda sepenuhnya jam 8 pagi.

Kawasan lain turut terjejas ialah Kampung Manjoi Lama, Kampung Datuk Ahmad Said Tambahan 3, Taman Muhibbah, Lim Garden di Ipoh dan Kampung Sungai Terap di Batu Gajah,

Empat sekolah yang ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Puteri, SMK Sungai Pari, Sekolah Kebangsaan (SK) Tarcision Convent dan SK Seri Mutiara. Difahamkan, Pusat Jagaan Anak Yatim Nurul Iman Manjoi juga dinaiki air.

Semua mangsa banjir dipindahkan ke dua pusat pemindahan banjir iaitu di Dewan Orang Ramai Kampung Manjoi dan Sekolah Agama Rakyat Tengku Hussin bagi memudahkan pemantauan dibuat dan bantuan disalurkan. 

      MB Perak meninjau kawasan Kampong Manjoi dilanda banjir kilat semalam

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi, Datuk Nadzri Ismail, berkata kejadian banjir kali ini adalah terburuk dilaporkan berlaku di kawasan Manjoi susulan hujan lebat luar biasa yang berlaku sejak awal pagi semalam.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, turut meluangkan masa hampir sejam melawat beberapa rumah mangsa dan kawasan yang ditenggelami air. Beliau meminta Majlis Keselamatan Negeri dan agensi kerajaan lain menyalurkan segala bentuk bantuan dengan segera terutama keperluan harian dan makanan kepada kesemua mangsa banjir.

Sumber: Sinar Harian Perak

No comments:

Post a Comment