Wednesday, 16 May 2012

"Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara" - Selamat Hari Guru



Saban tahun, 16 Mei merupakan hari keramat lagi suci murni kepada warga sekolah, iaitu Hari Guru di tanah air kita. Sekalung budi dan tahniah serta penghargaan yang setinggi-tingginya kepada insan yang bergelar sebagai pendidik. Sehubungan dengan itu, setiap sekolah telah meraikan Hari Guru dengan pelbagai aktiviti seperti mengadakan jamuan, memberikan hadiah dan mengadakan persembahan kepada guru yang disayangi. Ternyata, setiap warga sekolah perlu menghargai jasa dan sumbangan guru terhadap pembangunan individu, bangsa dan Negara. Hal ini selaras dengan tema Hari Guru 2012, "Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara".

Walhal, guru memainkan peranan yang signifikan dalam pembangunan umat sejagat. Atas bimbingan guru, lahirlah golongan profesional seperti doktor, jurutera, saintis dan lain-lain lagi. Seperti kata mutiara Sasterawan Negara Usman Awang, “Lahirnya seorang Perdana Menteri, Doktor, peguam, dan pensyarah adalah bermula daripada seorang guru biasa yang mengajarnya baca dan tulis.” Dengan kata lain, tanpa guru, siapakah kita? Tepuk dada tanya selera. Dengan kata lain, guru turut menentukan pembangunan negara dengan melahirkan tenaga mahir dan pakar-pakar dalam setiap bidang untuk menjamin kemajuan negara. Iltizam dan komitmen guru telah berjaya mencambah insan yang berketerampilan dan berdaya saing untuk memartabatkan pembangunan negara sehingga negara kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara maju.

Pada era digital ini, guru tidak lagi memainkan peranan sebagai penyampai ilmu kepada putera dan puteri yang berjuang dalam medan ilmu. Dalam zaman ledakan maklumat ini, pelajar berupaya memperoleh ilmu melalui pelbagai wadah dan wahana, seperti internet, e-buku, majalah, surat khabar malah televisyen satelit. Ekoran daripada itu, guru perlu bertindak sebagai fasilitator untuk membimbing pelajar menimba ilmu. Mutakhir ini, guru bukan sahaja perlu menguasai ilmu pengetahuan dalam bidang majornya tetapi juga perlu menguasai ilmu psikologi dan ICT supaya dapat mewujudkan suasana yang kondusif dalam pembelajaran dan pemelajaran . Dalam situasi ini, pelajar lebih minat dan beria-ia untuk mengikuti pelajaran. Sebagai impaknya, guru yang menguasai teknologi maklumat dan komunikasi dapat membimbing pelajar mencapai akademik yang cemerlang.

Salah satu tanggungjawab yang dominan bagi setiap guru adalah melahirkan golongan yang memiliki mentaliti kelas pertama kepada tanah air kita. Hal ini terjadi demikian kerana warga didik bukan sahaja memberikan ilmu dunia tetapi juga perlu menyampaikan ilmu akhirat kepada anak buahnya. Pendidikan kerohanian sangat mustahak kepada setiap insan. Guru perlu sentiasa menyuntikkan nilai-nilai murni kepada pelajar supaya mereka dapat menuju ke arah hakiki dan tidak mudah terpengaruh oleh hasutan syaitan. Dengan bimbingan, prihatin, asuhan dan kasih sayang guru, insan yang bersikap penyayang, bersemangat kental dan berfikiran terbuka akan bercambah. Jati diri penggerak wawasan. Atas sumbangan guru, pelajar yang memiliki jati diri dan bersahsiah mulia dapat menjanakan pembangunan negara.

Sesungguhnya para pendidik pada hari ini telah memainkan  peranan penting di dalam  merealisasikan aspirasi negara dalam mewujudkan perpaduan kaum. Pendidik pada hari ini telah membuktikan bahawa mereka telah mengimbangkan  kewujudan integrasi nasional yang  menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.Guru adalah merupakan ejen kepada keberkesanan pendidikan. Kejayaan dan keberkesanan para guru terhadap tanggungjawab, kelengkapan, keilmuan dan keluhuran peribadi. Pendidik dari kacamata Islam merupakan murabbi, muallim, muaddib, alim atau ulamak.  Mereka berfungsi bukan saja untuk memberi kesedaran pada diri sendiri malah juga masyarakat. Tentang hubungan, komitmen dan hubungannya dengan Allah. Perpaduan kaum dapat dicapai sekiranya guru menerapkan nilai–nilai murni seperti saling menghormati antara satu sama lain tidak mengira bangsa dan agama.Para pendidik  juga berperanan  menerapkan nilai kerjasama dan toleransi di kalangan pelajar.  Jika kita lihat, orang-orang Islam telah diikat oleh satu peraturan supaya hidup berjiran dan bersahabat dengan mereka. Hak jiran tidak boleh dikurangi dan tidak boleh boleh dilanggar sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Rasulullah S.A.W dalam pembentukan negara Islam.  Dengan ini, terciptalah satu masyarakat yang berbilang kaum dan kepercayaan demi mewujudkan kebahagiaan bersama dalam satu masyarakat dan satu negara.  Sikap toleransi yang diterapkan oleh guru dapat membentuk hubungan yang baik dalam masyarakat yang mampu melahirkan integrasi nasional.

Pada hari ini, marilah kita mengenang sumbangan para guru kepada anak bangsa di negara kita.  Guru merupakan golongan pendidik yang banyak berjasa serta menabur bakti untuk memberi pendidikan kepada anak-anak kita.  Sehubungan dengan itu, ibu bapa dan para pelajar harus dan wajar memberi penghormatan serta pengiktirafan yang tertinggi atas pengorbanan dan sumbangan guru-guru mereka yang sentiasa bertungkus lumus tanpa mengenal penat lelah mendidik anak bangsa kita.  Kita juga harus meletakkan martabat guru pada kedudukan yang tinggi dan mulia kerana para guru adalah penentu masa depan generasi muda. Prestasi, imej dan kualiti perkhidmatan mereka yang cemerlang akan melahirkan pelajar yang cemerlang dan seterusnya akan membentuk sebuah masyarakat yang maju dan cemerlang juga.  Golongan pendidik adalah seperti lilin, membakarkan diri demi menerangi orang lain.  Oleh sebab itu profesion guru disanjung tinggi oleh masyarakat.Kita perlu sama-sama merealisasikan Wawasan 2020 seperti yang diilhamkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad.  Kerajaan menghargai sumbangan guru dengan mengistiharkan tanggal 16 Mei pada setiap tahun bermula dari Tahun 1975 sebagai Hari Guru.  Ini salah satu usaha kerajaan untuk mengiktiraf dan mengenang jasa-jasa baik para guru.  Saya berharap para guru akan terus berusaha untuk menyemaikan dan menyuburkan budaya ilmu di kalangan anak-anak agar kita dapat mencapai sebuah negara yang maju dan unggul pada masa depan.

Guru ialah orang yang menyampaikan ilmu kepada anak-anak kita supaya menjadi orang yang berguna kepada agama, masyarakat, bangsa dan negara.  Ilmu pengetahuan merupakan salah satu alat terpenting yang amat berkesan dalam kehidupan manusia bagi mencapai kebahagian hidup, sama ada di dunia mahupun di akhirat.  Seseorang Muslim dinilai dari segi ilmu, iman serta amalannya bagi mengukur sejauh mana ketaqwaannya kepada Allah. Ia bukan dinilai dari segi keturunan, kedudukan, bangsa, kekayaan, rupa dan warna kulit. Allah telah meletakkan orang yang beriman dan berilmu ke tahap yang paling tinggi, seperti yang ditegaskan oleh Al-Quran:
“Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberikan ilmu pengetahuan beberapa darjat”

Mereka yang berilmu diberi kedudukan yang paling tinggi serta dijadikan sebagai saksi kepada manusia lain serta Allah dan para malaikat.  Mereka juga diberi kedudukan yang teristimewa sesudah para nabi, khususnya umat Rasulullah S.A.W.  Mereka diberikan tanggung-jawab untuk menyampaikan seruan, memimpin umat dan mentadbirkannya selepas kewafatan Rasulullah S.A.W.  Dengan kata lain, mereka sebagai pewaris yang mempusakai tugas Rasulullah S.A.W selepas kewafatan baginda.Imam Ghazali menyatakan, tidak ada martabat yang lebih tinggi daripada martabat kenabian dan tidak ada kemulian yang lebih mulia daripada menjadi pewaris martabat kenabian.  Kelebihan ilmu pengetahuan juga dapat ditanggapi daripada perutusan Rasulullah S.A.W. Disamping menjadi Rasul, baginda juga berperanan sebagai seorang guru dan pendidik. Allah menegaskan:

Ertinya: Maka sesungguhnya kewajipan Rasul kami hanyalah menyampaikan amanat Allah dengan terang.

Rasulullah s.a.w juga bersabda yang diriwayatkan oleh Ibn Majah:

Ertinya: Sesungguhnya aku diutus sebagai seorang guru.



Bak kata pepatah jasa guru umpama air mengalir dari anak sungai hingga ke dasar lautan.

Merujuk kepada Al-Quran Al-Karim, Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Mujaadilah ayat 11 yang bermaksud :

"Nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan."

Melalui ayat itu diperjelaskan tentang martabat dan kedudukan tinggi dan mulia para ulamak. Pendidikan adalah aset penting yang menghala tuju pembangunan negara serta aset mahal dalam pembinaan minda manusia serta alat untuk mewujudkan jati diri atau keperibadian yang unggul.Bidang pendidikan sentiasa berkembang dan mengalami perubahan mengikut tuntutan zaman, perkembangan pesat percantuman teknologi-teknologi telekomunikasi dan internet serta globalisasi, dunia telah banyak membawa banyak cabaran kepada kita. Kita tidak dapat menyangkal betapa cepatnya IT merubah dunia pembelajaran umpamanya muncul pembelajaran melalui 'online'.  Para guru pada hari ini telah  bersikap produktif, proaktif dan responsif terhadap perkembangan kecanggihan teknologi yang telah banyak mengajar anak bangsa kita supaya menjadi satu bangsa yang maju.  Ilmu dan kemahiran dalam teknologi info-komunikasi yang dikuasai guru dapat digunakan sebagai pemangkin ke arah menghasilkan pendidikan yang cemerlang dan berkualiti.  Sebagai pemangkin, guru menggunakan teknologi info-komunikasi bukan hanya untuk menyampaikan ilmu di dunia semata-mata tetapi juga untuk meraih kepentingan ilmu akhirat kerana pendidikan berkualiti hanya akan dapat dicapai melalui keseimbangan dalam kedua-dua ilmu tersebut.  Tahniah diucapkan kepada para guru!

Penguasaan ilmu yang seimbang antara duniawi dan ukhrawi, insya-Allah akan dapat melahirkan generasi yang berilmu, bertakwa, berkualiti, mampu bersaing dan bersesuaian dengan kehendak pergolakan dunia pada alaf baru ini.

Sesungguhnya Allah SWT telah mengangkat darjat orang yang beriman dan berilmu di kalangan kita semua.  Oleh yang demikian, profesion perguruan adalah merupakan satu profesion yang tinggi nilainya di sisi Allah SWT dan sepatutnya kita menyanjung tinggi terhadap jasa yang mereka curahkan kepada anak bangsa kita.  Ini telah ditegaskan oleh Allah SWT di dalam firmannya di dalam Surah Az-Zumar ayat 9 yang bermaksud;

"Katakanlah : Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya  orang yang berakal sahajalah yang dapat menerima pelajaran"
Kita perlu mengakui pengorbanan guru dalam melahirkan anak watan yang berguna. Malangnya, kini banyak pelajar telah dipengarui oleh budaya barat dan hedonisme sehingga terbelenggu oleh kemelut sosial . Remaja kita seolah-olah tidak dapat melepaskan diri dalam kepompong sindrom sosial, seperti melepak, mat rempit, penagihan dadah, dan lain-lain lagi. Sesungguhnya guru perlu mendukung cita-cita untuk membanteras sindrom sosial dalam pekarangan sekolah dan masyarakat kita. Rentetan daripada itu, guru perlu sentiasa bekerjasama dengan ibu bapa untuk mengetahui kemusykilan pelajarnya . Para pendidik sentiasa mengorbankan masa dan tenaga untuk memulihkan pelajar yang tersesat di hujung jalan supaya mereka dapat balik ke pangkal jalan. Secara tidak langsung, guru berupaya mementuk masyarakat madani dan sakinat. Jasa guru akan sentiasa dikenang dalam sanubari anak muridnya hingga akhir hayat.

Guru selalu diibaratkan sebagai lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Dedikasi guru dapat membentuk pelajar yang cemerlang dalam akademik dan kokurilum serta berakhlak mulia. Guru berkualiti aspirasi negara. Guru yang bertanggungjawab dan amanah sentisa dihormati oleh rakan sejawatan dan anak murid. Sekalung budi dan sekeping kad Hari Guru sebagai tanda terima kasih yang tidak terperi kepada semua guru. Jasa dan budi guru akan sentiasa dikenang. Segala teguran dan kritikan daripada guru semata-mata adalah demi kebaikan pelajar. Tampaknya, profesion guru semakin mencabar berbanding dengan zaman silam. Oleh itu guru perlu bersemangat waja diri dan gigih untuk meladeni kerenah pelajar yang semakin liar. Jangan putus asa dan patah semangat malah perlu sentiasa menyemarakkan semangat dan motivasi pelajar supaya mereka dapat menjadi insan yang kamil dan seimbang dari segi jasmani, rohani, intelek dan emosi.

Natijahnya, komitmen yang utuh dalam kalangan guru dapat memperkasakan pembangunan insan yang berkualiti sehingga mencapai visi negara, iaitu 1 Malaysia. Guru cemerlang negara terbilang. Pendidik perlu melengkapkan diri supaya dapat membimbing anak pelajar ke arah cemerlang. Gemilang dan terbilang. Selamat Hari Guru.

No comments:

Post a Comment