Monday, 4 February 2013

Pemimpin Bertaraf Dunia : Legasi Mahathir Bakal diteruskan Najib



KUALA LUMPUR, 29 Jan - Kunjungan Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Tun Razak ke Gaza baru-baru ini mendapat perhatian dunia apabila bukan sahaja media-media tempatan yang melaporkan kunjungan berkenaan, malah kunjungan ini turut mendapat liputan dari media-media barat.

Kunjungan Najib ke Gaza adalah bertujuan untuk menunjukkan sokongan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin. Kunjungan itu walau bagaimanapun mendapat reaksi kurang senang dari Presiden Palestin, Mahmoud Abbas yang menganggap tindakan itu seolah-olah tidak menghormati Palestin dan rakyatnya secara umum.

Najib dalam kenyataan balas memaklumkan rancangan asal adalah untuk melawat Gaza dan Ramallah, namun lawatan ke Ramallah terpaksa dibatalkan kerana sekatan dari Israel yang mengawal ruang udara kawasan itu.

Selain itu, kunjungan ke Gaza adalah atas dasar kemanusiaan apabila terotari yang dikuasai Hamas baru-baru ini telah dibedil teruk tentera Israel. Keikhlasan Najib itu juga dapat diterjemahkan melalui kenyataan beliau yang mahu melihat kerajaan perpaduan di antara Fatah dan Hamas.

Malaysia di bawah legasi Tun Dr. Mahathir sememangnya menjadi ikon kepada negara-negara Islam dan negara-negara dunia ketiga. Najib kini dilihat sebagai seorang lagi pemimpin negara Islam yang mula mendapat perhatian antarabangsa dan berpotensi untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Mahathir.

Walaupun pendekatan yang digunakan oleh Najib lebih 'lembut' berbanding Mahathir, namun ia terbukti berkesan apabila Malaysia diberi kepercayaan oleh beberapa negara yang mengalami krisis dalaman untuk menjadi orang tengah, misalnya krisis di selatan Thailand dan Moro, Filipina .

Dari segi ekonomi pula, Najib berjaya 'menyelamatkan' negara ini daripada menjadi mangsa krisis apabila kemerosotan ekonomi dunia berlaku sekitar tahun 2009 hingga 2010. Seterusnya, Dasar Transformasi Ekonomi berjaya menambahkan lagi momentum ekonomi dalam negara disamping mewujudkan hingga 300,000 ribu peluang pekerjaan yang baru.

Hal ini telah disuarakan oleh Najib semasa berada dalam Forum Ekonomi Dunia di Davos baru-baru ini. Peserta-peserta dari pelbagai negara di forum itu nyata sekali kagum dengan pencapaian ekonomi yang ditunjukkan oleh Malaysia, tambahan pula kenyataan Najib itu disokong dengan data dari Bank Dunia yang merekodkan pencapaian Malaysia yang cemerlang.

Najib yang mempunyai Ijazah Industri Ekonomi, dari Universiti of Nottingham dilihat mampu meletakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaya saing sama seperti negara-negara maju yang lain. Selain berjaya memulihkan keyakinan rakyat terhadap pemerintahan kerajaan di bawah pimpinan Barisan Nasional hanya dalam tempoh lebih kurang 3 tahun selepas pengambilalihan kuasa dari Perdana Menteri sebelumnya, Najib dilihat berjaya menarik pelaburan luar ke dalam negara ini dengan mendadak.

Pada tahun 2010, Malaysia telah memperoleh pertumbuhan FDI yang paling tinggi dikalangan negara-negara Asia iaitu sebanyak 409.7%, peningkatan yang signifikan kepada USD 7 billion berbanding USD 1.4 billion pada tahun 2009.

Dengan pencapaian-pencapaian yang ditunjukkan oleh Najib dalam tempoh yang singkat ini, adalah tidak mustahil era kegemilangan Malaysia semasa di bawah pentadbiran Mahathir akan diteruskan oleh Najib. Di peringkat antarabangsa pula, Najib juga dilihat mula menyerlah sebagai antara pemimpin berkaliber di kalangan negara-negara membangun.

Pada ketika era pemerintahan Mahathir, sokongan rakyat kepada kerajaan adalah berdasarkan kebijaksanaan dan karisma yang dimiliki oleh Mahathir itu sendiri. Najib dilihat mula mengikut jejak-jejak yang ditinggalkan oleh Mahathir namun dengan acuan dan gaya kepimpinan beliau yang tersendiri.

Semasa era Mahathir, bekas Perdana Menteri itu menjadi kebanggaan rakyat apabila keberanian dan kebijaksanaan beliau menjadi buah mulut rakyat dari negara-negara lain. Oleh yang demikian, sentimen rakyat terhadap kerajaan adalah amat kuat sekali pada ketika itu, majoriti rakyat berasa selamat dan yakin apabila kepimpinan kerajaan diteraju Mahathir.

Mungkin Najib belum lagi sampai pada tahap Mahathir di mana pemimpin dari negara lain memerlukan khidmat beliau bagi menjadi penasihat ekonomi negara mereka, namun begitu potensi yang ditunjukkan oleh Najib dalam tempoh yang singkat amat memberangsangkan dan tak mustahil dalam tempoh 10-15 tahun akan datang Malaysia akan kembali mempunyai pemimpin yang disegani di mata dunia.
 
Sumber: klpos

No comments:

Post a Comment