Tuesday, 22 April 2014

Cubaan Cemar Imej Kerajaan. #MH370 #PrayForMH370

Insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu, Sabah serta kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 dilihat dijadikan ‘platform’ oleh pihak-pihak tertentu untuk menjatuhkan imej dan kredibiliti kerajaan bagi memenuhi agenda peribadi masing-masing.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, malah segala usaha kerajaan untuk menangani isu berkenaan telah dipertikaikan dan dikritik termasuk tindakan memesongkan fakta-fakta.

Walau bagaimanapun, jelasnya, kerajaan mengakui tidak semua tindakan menyelesaikan insiden terbabit dipersetujui dan diterima baik oleh pihak-pihak yang mengikuti perkembangan itu kerana mereka mentafsirkannya dalam konteks berbeza.

"Sebagai contoh, dalam insiden kehilangan MH370, ketelusan dan perkongsian maklumat oleh Malaysia telah dikritik oleh segelintir pihak yang melihat kejadian ini sebagai ruang untuk memburukkan imej negara. (Tetapi) dalam konteks ini, saya yang juga Pemangku Menteri Pengangkutan terpaksa berdepan pelbagai cabaran dalam menjelaskan serta menangkis segala tohmahan yang dilemparkan selain mengetepikan teori konspirasi yang diutarakan.

"Alhamdulillah, krisis ini telah dapat diurus dengan baik dan kebanyakan masyarakat serta ahli keluarga dapat menghadapi keadaan yang kompleks ini dan memberi ruang kepada kerajaan untuk menguruskannya sehingga menemui jawapan kepada kehilangan MH370,'' katanya dalam ucaptama merasmikan Simposium Penasihat Pertahanan 2014 di Wisma Perwira, Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.

Hishammuddin memberitahu, di sebalik sokongan negara luar untuk bersama membantu Malaysia dalam insiden berkenaan, ini juga antara lain merupakan usaha Penasihat Pertahanan yang bertindak sebagai diplomat pertahanan di luar negara bagi mewujudkan hubungan diplomatik yang berkesan.

Atas dasar itu beliau mengingatkan Penasihat Pertahanan supaya terus aktif membantu kelangsungan hubungan bilateral dan multilateral dengan negara luar demi menjamin kepentingan, kemakmuran dan keselamatan negara agar tidak diganggu-gugat di peringkat serantau dan antarabangsa.

Sementara itu, dalam simposium yang menghimpunkan para perwakilan pertahanan tersebut, beliau turut mengutarakan isu-isu politik tanah air khususnya tuduhan pembangkang yang cuba memanipulasikan situasi politik negara dan memberikan persepsi negatif terhadap kerajaan.

"Saya selalu menjelaskan dakyah menggunakan data-data palsu yang dimanipulasikan ialah berniat jahat. Tindakan ini tidak bermoral dan mereka sanggup menipu rakyat demi agenda politik sempit tanpa memikirkan kesan kepada survival negara. Matlamat pembangkang hanyalah untuk memenangi hati dan fikiran rakyat selain menimbulkan kekeliruan serta kebencian dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan.

"Akibat tindakan tidak bertanggungjawab ini, ia boleh menyebabkan negara terjerumus ke kancah perpecahan dan tidak mustahil Malaysia juga akan menerima nasib sama seperti dialami rakyat Mesir, Libya atau Syria," tambahnya.

UTUSAN

No comments:

Post a Comment