Wednesday, 30 April 2014

Fahami #GST:Membangun Dan Maju Bersama @kastamhq @gstmalaysiainfo


Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) di Malaysia


Kerajaan pada ketika ini sedang membuat persedian rapi bagi melaksanakan pelan tranformasi terhadap sistem percukaian negara. Di dalam pelan tersebut, Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST akan diperkenalkan untuk menggantikan sistem cukai kepenggunaan sedia ada iaitu Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST). 

GST adalah model cukai kepenggunaan yang dikenakan ke atas penggunaan domestik serta barangan dan perkhidmatan import yang dibekalkan di dalam Malaysia. GST juga dikenali sebagai Cukai Nilai Tambah (VAT) kerana cukai ini dikenakan ke atas nilai ditambah bagi barangan dan perkhidmatan di setiap peringkat rantaian bekalan. Di dalam perniagaan, GST tidak menjadi sebahagian daripada kos kerana GST yang dibayar ke atas pembelian akan dituntut semula di langkah seterusnya dalam rantaian bekalan. Di dalam model ini, pengguna akhir akan menjadi pihak yang sebenarnya membayar GST kepada Kerajaan.

Menurut mekanisma GST seperti yang dinyatakan di dalam Rang Undang-Undang GST 2009, terdapat tiga kategori kadar GST iaitu Kadar Standard (Standard Rated), Kadar Sifar (Zero Rated) dan Dikecualikan GST (Exempted). Menurut Rang Undang-Undang itu juga, Kadar Standard yang dicadangkan oleh Kerajaan adalah 4% ke atas harga barang atau perkhidmatan yang ditakrifkan sebagai “Pembekalan”. Walau bagaimanapun, pembekalan barangan asas keperluan isi rumah seperti produk pertanian, bekalan ternakan, bahan asas masakan, dan lain-lain lagi, akan diletakkan di dalam kategori Kadar Sifar (0%). Manakala barang atau perkhidmatan awam pula seperti tanah dan kediaman, pengangkutan awam, pendidikan, perkhidmatan kesihatan, perkhidmatan kewangan serta caj lebuhraya, akan diletakkan di dalam kategori Dikecualikan GST.


Ilustrasi 1: GST atas nilai tambah


Ilustrasi 2: Bagaimana GST dilaksanakan pada kadar 4%


Ilustrasi 3: Bagaimana GST dilaksanakan pada kadar 0%

GST pada dasarnya diformulasikan untuk mengatasi kelemahan-kelemahan yang tidak boleh diatasi di dalam sistem SST seperti kesan cukai bertindih, cukai berganda dan cukai bertingkat, isu kebocoran dan ketirisan hasil akibat daripada aktiviti pemindahan harga, penyeludupan dan sebagainya. Di samping itu, GST juga dirumus untuk meningkatkan pematuhan cukai melalui kaedah tadbir-urus yang lebih mudah berikutan sistem pengurusannya adalah berasaskan kepada kaedah self policing

Sehingga tahun 2009, GST telah pun dilaksanakan di 146 buah negara, di mana Perancis menjadi negara yang pertama melaksanakannya pada tahun 1954. Di kalangan negara-negara ASEAN pula, Indonesia adalah negara yang terawal melaksanakan GST iaitu pada tahun 1984 dan diikuti oleh negara-negara yang lain kecuali Malaysia, Brunei dan Myanmar. 

Hakikatnya, cadangan mengenai pelaksanaan cukai nilai tambah yang bersamaan dengan GST di Malaysia telah mula diberitakan sejak Oktober 1988. Ianya pertama kali disebut di dalam Pembentangan Belanjawan 1989, oleh Y.B. Menteri Kewangan Malaysia pada ketika itu, Tun Daim Zainuddin. Seterusnya, keperluan mewujudkan sistem cukai ini dinyatakan semula pada pembentangan Belanjawan 1993, 2005 dan 2010, masing-masing oleh Menteri Kewangan pada ketika itu, iaitu Y.B. Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Y.A.B. Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Y.A.B. Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak. 

Walaupun telah sekian lama dirancang oleh Kerajaan, GST masih belum dilaksanakan di Malaysia. Rang Undang-Undang GST yang telah dibentangkan di Parlimen pada tahun 2009, telah ditarik balik sebelum bacaan kali kedua, kerana kebimbangan Kerajaan mengenai penerimaan serta tahap pemahaman Rakyat mengenai mekanisma GST. Menteri Kewangan Kedua, Y.B. Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah dalam satu kenyataannya kepada media pada Julai 2012, menyebut bahawa, Kerajaan ingin memastikan Rakyat benar-benar memahami GST terlebih dahulu sebelum Kerajaan memutuskan untuk melaksanakannya. 

Kepentingan GST kepada ekonomi negara

Fakta Cukai di Malaysia
Kita sering kali mendengar rungutan dan keluh kesah Rakyat serta komuniti perniagaan mengenai kadar cukai pendapatan individu dan cukai pendapatan syarikat di Malaysia yang tinggi berbanding dengan negara jiran, Singapura. Perbandingan tersebut dibuat bagi menunjukkan seolah-olah Kerajaan sedang menekan Rakyat dengan mengenakan cukai yang tinggi dan menjadikan Malaysia kurang kompetatif dalam mengekalkan bakat untuk merangsang pertumbuhan ekonomi serta menarik pelabur asing berbanding Singapura. Untuk rekod, Singapura telah melaksanakan GST sejak tahun 1994.

Sebenarnya, kadar cukai pendapatan individu dan cukai pendapatan syarikat di Malaysia boleh dirasionalisasikan secara berperingkat sekiranya Rakyat memberikan sepenuh kepercayaan terhadap Kerajaan untuk melaksanakan GST, sama seperti yang dilakukan oleh negara jiran, Singapura. Ini kerana, GST berupaya menjana sumber hasil negara yang lebih kukuh dan stabil bagi menggantikan kebergantungan sumber hasil daripada kedua-dua cukai pendapatan individu dan syarikat.

GST pada hakikatnya merupakan satu sistem percukaian yang lebih komprehensif, efektif, telus, efisien dan mesra perniagaan. GST mampu merangsang pertumbuhan ekonomi domestik serta meningkatkan daya saing negara kepada pelaburan global di samping kurang terdedah kepada risiko turun naik ekonomi atau kebergantungan kepada sumber minyak dan gas yang mempunyai jangka hayat yang terhad.

Rakyat perlu memahami bahawa, GST sememangnya dirumus untuk mengurangkan bebanan cukai terhadap Rakyat pada masa sekarang yang disebabkan oleh kelemahan-kelemahan yang terdapat di dalam sistem cukai sedia ada. Objektif utama GST adalah untuk menyeimbangkan skop asas cukai kepada segenap golongan masyarakat mengikut paten penggunaan mereka. Secara prinsipnya, lebih banyak penggunaan, maka lebih banyak pembayaran. Sebaliknya, semakin efektif sesuatu pekerjaan, semakin banyak hasil yang dijana dan mereka patut menikmati cukai yang lebih rendah.

Bagi komuniti perniagaan, GST tidak akan menjadi sebahagian daripada kos barang dijual. Ini bermakna, sebarang caj GST yang terdapat di dalam inbois jualan (GST Ouput) atau belian (GST Input) bukanlah perlu ditanggung oleh para peniaga. Layanan perakaunan ini tidak sama seperti sistem SST di mana SST adalah kos kepada perniagaan. Justeru itu, dengan pemansuhan SST, kos jualan sesuatu perniagaan akan dapat dijimatkan. Ini seterusnya akan memberi nilai kepada pasaran, jika perniagaan tersebut menyalurkan kembali penjimatannya kepada Rakyat.

Bagi menjamin kepentingan serta kebajikan segenap lapisan Rakyat, Kerajaan bakal menetapkan bahawa mana-mana entiti perniagaan dengan nilai ambang atau jualan terkumpul (Treshold) di bawah paras RM500,000 setahun tidak akan diwajibkan untuk berdaftar sebagai syarikat berdaftar GST (GST Registrant). Penetapan ini akan mengecualikan perusahaan-perusahaan kecil dan sederhana seperti kedai-kedai runcit diluar bandar daripada memungut GST daripada pelanggannya, namun mereka dibenarkan menyerap caj GST Input (sekiranya ada) ke dalam harga sebagai kos. Tindakan ini adalah bagi mengurangkan impak perubahan harga terhadap Rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah. Secara relatifnya, walaupun caj GST Input diserap sebagai kos, harga barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan oleh perusahaan tidak berdaftar GST akan lebih lebih rendah berbanding era SST kerana perbezaan kadar cukai daripada 10% kepada 4%.

Di dalam model GST Malaysia juga, terdapat satu mekanisma khas yang dirangka bagi menggalakkan industri pelancongan negara. Ianya dinamakan sebagai Skim Bayar Balik Pelancong atau Tourist Refund Scheme (TRS) yang berupa insentif pemulangan GST kepada pelancong yang berbelanja di Malaysia untuk barang-barang yang ingin dibawa pulang bersama mereka (mengikut terma-terma yang ditetapkan). Skim TRS ini berpotensi untuk menarik minat pelancong asing yang mempunyai keupayaan berbelanja yang tinggi dan sekaligus melipat gandakan pulangan ekonomi kepada sektor-sektor yang terlibat secara langsung dengan industri pelancongan apabila GST dilaksanakan kelak.

Impak GST terhadap ekonomi domestik sebenarnya sangat besar. Ianya bukan sahaja mampu memberikan nilai wang kepada Rakyat atau komuniti perniagaan, malahan GST juga mampu mengekang aktiviti mengelak cukai secara kolektif di samping merangsang kemasukan pelabur dan pelancong asing ke Malaysia. Ini seterusnya akan membawa kesan berganda (Multiply effects) yang positif kepada ekonomi negara dan Rakyat secara keseluruhannya. 

Sebagai contoh, banyak peluang perkerjaan akan terhasil daripada peningkatan jumlah pelaburan yang masuk ke dalam Malaysia kerana rangsangan kadar cukai pendapatan syarikat yang rendah. Seterusnya, Rakyat akan memperoleh manfaat dalam bentuk nilai wang serta peningkatan taraf hidup yang lebih selesa melalui pelbagai bentuk pembangunan yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan seperti penyediaan infrastruktur kemasyarakatan yang lengkap. Apa yang lebih penting adalah janji Kerajaan untuk berkongsi Kekayaan negara untuk kebajikan segenap lapisan Rakyat seperti pemberian bantuan kewangan, perkhidmatan kesihatan, subsidi pendidikan dan perumahan serta lain-lain lagi.

Tugas penting bersama untuk GST


Kerajaan telah menerima pelbagai reaksi dan pandangan umum sejak membuat pengumuman rasmi mengenai cadangan pelaksanaan GST di Malaysia pada Pembentangan Bejet 2005. Reaksi dan pandangan umum tersebut jelas mendapat perhatian yang sewajarnya daripada pihak Kerajaan apabila Rang Undang-Undang GST ditarik balik sebelum bacaan kali kedua di Parlimen pada April 2012 dan masih tidak diteruskan sehingga kini.

Jika diteliti secara menyeluruh, hampir kebanyakkan reaksi dan pandangan umum tersebut adalah bersifat negatif atau menolak pelaksanaan GST disebabkan salah faham mereka mengenai GST atau campur tangan politik. Manakala, pihak yang menerima dan menyokong pelaksanaan GST adalah mereka yang kebanyakkannya terdiri daripada wakil-wakil akademik, permain-pemain industri atau ahli-ahli ekonomi yang mempunyai asas pengetahuan yang mencukupi untuk memahami mekanisma GST. 

Jika situasi ekonomi Malaysia tanpa pelaksanaan GST masih berterusan, Kerajaan dijangka akan menghadapi tempoh masa yang sukar dalam menguruskan ekonomi negara pada masa hadapan. Antara cabaran terbesar adalah untuk menangani isu perubahan persekitaran ekonomi global serta kebarangkalian penyusutan sumber-sumber domestik yang terhad seperti minyak dan gas. Kesan kepada kekangan sumber hasil pada masa hadapan akan mengganggu momentum pertumbuhan sebuah negara Malaysia yang makmur dan maju. Pihak yang akan menjadi mangsa keadaan adalah Rakyat sendiri.

Bagi menangani isu penolakkan terhadap GST, Kerajaan perlu melipat gandakan usaha untuk memberikan kefahaman yang secukupnya mengenai GST kepada Rakyat. Masalah penyampaian maklumat GST menjadi kelemahan utama di pihak Kerajaan kerana sehingga kini tiada sebarang hebahan yang efektif untuk menarik penerimaan Rakyat terhadap GST. Sebaliknya, Rakyat semakin bertambah keliru serta salah sangka mengenai GST.

GST tiada kumpulan sasar tertentu, sebaliknya GST akan melibatkan keseluruhan Rakyat. Kerajaan tiada pilihan selain daripada memperbetulkan persepsi Rakyat mengenai hakikat keperluan GST untuk pembinaan sebuah negara bangsa yang terbilang. Persepsi-persepsi negatif mengenai ketelusan, akauntabiliti dan sikap amanah di dalam pengurusan perbendaharaan negara perlu ditangani secara efisyen oleh Kerajaan. 

Selain itu, pelaksanaan GST juga memerlukan kerjasama politik yang matang. Parti-parti politik di Malaysia perlu meminggirkan kepentingan politik masing-masing buat seketika, bagi membolehkan perkara yang betul mengenai masa hadapan ekonomi negara dapat dilakukan untuk kebaikan seluruh Rakyat. Kritikan yang diberikan haruslah bersandarkan kepada ilmu pengetahuan menyeluruh mengenai GST, bukan hanya berdasarkan ilmu picisan yang dituntut dikedai-kedai kopi atau dipetik dari cogankata murahan di laman-laman sosial semata-mata. Jadilah pemimpin yang adil dan beramanah demi masa hadapan negara Malaysia yang tercinta. 

Marilah “Membangun dan Maju Bersama” untuk Malaysia tercinta.

No comments:

Post a Comment