Sunday, 20 April 2014

ISU HUDUD : PKR TUDUH PAS TIKAM BELAKANG @nikabdulaziz @ustazfathulbari @real_DrMAZA


Prof Dr Abdul Aziz Bari, individu yang diuar-uarkan ‘pakar perlembagaan’ oleh pihak pembangkang mendakwa PAS ‘keliru dan tidak jelas’ berkaitan bidang kuasa antara kerajaan negeri dan pusat dalam proses pelaksanaan hudud di negeri Kelantan.
Menurutnya, pemimpin-pemimpin PAS, termasuk Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan exco Kelantan Dr Fadzli Hassan juga tidak membantu menjelaskan kekeliruan tersebut.
“Kalau PAS Kelantan kata ini kuasa pusat – sebagaimana yang didakwa oleh Dr Fadzli – kenapa mereka luluskan enakmen itu pada 1993? Kalau dah sedar itu bukan kuasa negeri mengapa buat undang-undang itu?
“Saya tahu mereka akan jawab ini soal akidah dan tanggungjawab. Soalan saya kenapa hal itu tidak pernah dijelaskan? Ini yang saya kata Kelantan gagal merangka rangka dasar dan hala tuju untuk pelaksanaan hukum hudud ini.
“Pelik. Seperti yang saya katakan tadi kalau dah tahu awak tak ada kuasa apa yang awak buat benda itu?” soal Abdul Aziz dalam e-mel balasan kepada Malaysiakini.
Beliau dihubungi portal itu untuk bertanya tindakan Kelantan yang mahu membawa rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi membuka laluan kepada pelaksanaan hudud di Kelantan.
Abdul Aziz yang juga pensyarah Universiti Selangor (UNISEL) berkata beliau sebelum ini pernah membangkitkan perkara itu dan menawarkan diri untuk membantu tetapi dipandang sepi.
Beliau sebaliknya berpandangan pelaksanaan hudud boleh dilaksanakan apabila Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya dan PAS perlu bersabar serta menjelas implikasi undang-undang dan politik daripada isu ini.
“Tapi mungkin kerajaan Kelantan ketandusan isu dan parti tertekan kerana gagal menjelaskan isu ini kepada ahli-ahli. Ini pun pelik juga. Kalau ahli sendiri pun tak boleh kawal, nak menang macam mana?” sindirnya.
Abdul Aziz yang juga bekas calon PKR di Parlimen Sabak Bernam turut mempersoal sikap UMNO dalam soal hudud dan bertanya kenapa usul persendirian itu tidak dibentangkan UMNO, bukannya PAS.
“Dan nasib tak baik, PAS akan hilang banyak kerusi di luar Kelantan kerana insiden ini menampakkan yang PAS sanggup tikam dari belakang,” katanya lagi.

No comments:

Post a Comment