Monday, 14 April 2014

Makna Lawatan Obama Ke KL @NajibRazak @BarackObama



Bukan sahaja Kuala Lumpur yang menunggu penuh debar ketibaan Presiden Barack Obama pada akhir bulan April ini tetapi lebih bermakna lagi apabila Washington juga turut menaruh harapan tinggi daripada hasil lawatan pemimpin tertinggi Amerika Syarikat (AS) itu ke Malaysia. Lawatan yang sepatutnya berlaku pada bulan Oktober 2013 tetapi tertangguh kerana masalah perbalahan bajet yang melumpuhkan pentadbiran kerajaan AS pada ketika itu merupakan lawatan pertama Presiden AS selepas lima dekad Presiden Lyndon Johnson melawat Malaysia pada tahun 1966.

Harapan tinggi Washington terhadap lawatan ini bersandarkan kepada pegangan Obama bahawa Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang moden dan progresif sepatutnya menjadi contoh kepada semua negara lain.

Tambahan pula Malaysia yang mengamalkan dasar luar yang mementingkan pendekatan sederhana begitu menarik perhatian Obama terhadap peranan Malaysia dalam geopolitik global.

Kadangkala ada yang merasa sangsi dan mempunyai prasangka tidak baik kerana perhatian yang diberikan oleh Washington terhadap Kuala Lumpur sekali sekala melebihi apa yang diterima oleh sekutu kuat AS di rantau Asia Tenggara seperti Manila, Bangkok malah Singapura sekali pun.

Ada pula yang beranggapan pandangan positif tersebut disebabkan kepimpinan Obama dan bukannya kerana Datuk Seri Najib Tun Razak.

Walau apa pun pandangan sinis tersebut, hakikatnya sebaik-baik sahaja Najib dilantik Perdana Menteri pada April 2009, persepsi Washington terhadap Kuala Lumpur telah mula berubah.

Ketika menyampaikan ucapan kepada dunia Islam di Kaherah pada 4 Jun 2009, Obama yang baru sahaja beberapa bulan menjadi Presiden AS telah mentafsirkan Malaysia sebagai negara Islam yang maju dan progresif tetapi masih mampu mengekalkan ciri-ciri kesederhanaan dan patut dijadikan contoh oleh negara Islam yang lain.

Ucapan Kaherah dan pandangan Obama terhadap Malaysia adalah kritikal dan penuh makna kerana ucapan tersebut dianggap sebagai dasar Washington untuk membuka ruang rundingan kepada semua negara Islam, tidak kira lawan atau kawan seperti Iran umpamanya.

Begitu juga ketika Obama menyampaikan ucapan kata alu-aluan melalui sidang video pada Sidang Kemuncak Keusahawanan Ke-4 (GES) di Kuala Lumpur pada bulan Oktober 2013, pandangan yang sama terhadap Malaysia juga diperkatakan oleh Obama.

Tetapi ada pula pihak yang berpendapat lawatan Obama dikatakan berlaku tidak kena dengan keadaan semasa dan agak janggal ekoran kehilangan penerbangan MAS MH370 yang masih belum terungkai misterinya.

Kumpulan ini cuba mengaitkan lawatan Obama ke Malaysia dengan lawatan beliau ke tiga negara lain iaitu Filipina, Korea Selatan dan Jepun yang merupakan sekutu kuat Washington.

Lawatan Obama ke tiga-tiga negara sekutu tersebut dianggap tidak akan menghadapi masalah persepsi yang tidak baik kerana agenda yang disusun lebih kepada perkukuhan persefahaman strategik yang sedia ada.

Umpamanya Washington dan Manila besar kemungkinan akan menggunakan kehadiran Obama untuk memuktamadkan perjanjian penggunaan pangkalan tentera di Filipina untuk tentera AS.

Pihak yang sinis ini cuba mengetengahkan hujah bahawa kehilangan MH370 berlarutan lebih sebulan lamanya disebabkan pihak berkuasa Malaysia tidak cekap mengurus misi pencarian dan menyelamat (SAR). Sebab itu kumpulan ini memberi dalil kehadiran Obama dalam senario seperti ini akan memberi gambaran yang agak negatif kepada pemimpin kuasa besar itu.

Tetapi jika diteliti bagaimana Kuala Lumpur mentadbir urus misi SAR yang bermula di Laut China Selatan, kemudian beralih ke Selat Melaka dan Laut Andaman dan terkini di Lautan Hindi yang melibatkan penggunaan aset ketenteraan dan awam dari 26 buah negara, sebenarnya telah mengesahkan kebenaran pandangan Obama terhadap Malaysia selama ini.

Ketenteraan

China umpamanya negara yang begitu sensitif dengan sebarang maklumat mengenai aset ketenteraan mereka telah menghulurkan bantuan bukan sahaja melalui penggunaan pesawat dan kapal perang tetapi juga satelit mereka.

Selama ini Beijing begitu berahsia mengenai keupayaan satelit mereka, tetapi dalam misi SAR MH370 keupayaan satelit tersebut digunakan sepenuhnya.

Jika sebelum ini AS dan Australia begitu sukar mempamerkan keupayaan sebenar Jaringan Operasi Radar Jindalee (JORN) yang terletak di Alice Spring, Australia yang dikatakan dapat mengesan pergerakan udara dam maritim menjangkau sehingga jauh di Lautan Hindi, data dari JORN juga telah digunakan dan dianalisis demi mencari MH370.

Begitu juga dengan Britain dikhabarkan telah menghantar kapal selam berkuasa nuklear HMS Tireless ke Lautan Hindi bagi membantu aset sedia ada.

Penglibatan HMS Tireless dilihat sebagai satu peristiwa signifikan kerana lazimnya lokasi dan kawasan operasi kapal selam setiap negara dikawal dengan begitu rapi sekali.

Sebab itu dikatakan hujah kumpulan yang berpendapat lawatan Obama ke Kuala Lumpur tidak kena pada masanya sebenarnya adalah di sebaliknya kerana ia peluang terbaik bagi Obama untuk menzahirkan pandangan beliau bahawa dasar luar yang sederhana seperti yang diamalkan oleh Malaysia mampu membantu menstabilkan geopolitik dunia.

Sukar untuk menafikan dasar berbaik-baik dengan semua negara adalah antara pemangkin utama mengapa bantuan dihulurkan oleh kesemua 26 negara kepada Malaysia.

Kerjasama yang dipamerkan oleh negara yang terlibat dalam misi SAR MH370 sebenarnya boleh dijadikan model bagaimana rumit senario yang dihadapi ia mampu diselesaikan jika wujud sifat kepercayaan antara satu sama lain.

Bagi mewujudkan suasana kepercayaan ini ia memerlukan pemangkin dan dalam kes misi SAR, ia adalah Malaysia.

Begitu juga dengan termeterainya Perjanjian Komprehensif Bangsamoro antara Manila dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) dua minggu lepas sekali lagi pemangkinnya ialah Malaysia yang berjaya mewujudkan suasana telus dan ikhlas antara pihak yang bertelagah.

Memang benar Malaysia hanya sebuah negara kecil yang tidak mempunyai kekuatan ekonomi dan ketenteraan yang begitu ketara, tetapi pengaruh Kuala Lumpur dalam ASEAN mahupun Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) begitu amat ketara sekali.

Jika tidak mana mungkin ketika Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear yang julung kali diadakan di Washington pada April 2010, Najib adalah satu-satunya pemimpin ASEAN yang diberi penghormatan mengadakan perbincangan dua hala dengan Obama.

Dalam kalangan negara OIC pula hanya Raja Abdullah dari Jordan diberi penghormatan yang serupa.

Sebab itu tidak keterlaluan jika diandaikan antara empat ibu kota yang akan dilawati Obama iaitu Kuala Lumpur, Manila, Seoul dan Tokyo pada akhir bulan ini, lawatan ke Malaysia sebenarnya paling dinantikan oleh Washington kerana kesannya terhadap kestabilan rantau Asia pada masa hadapan adalah begitu signifikan sekali.

* Penulis ialah Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana UTM.

No comments:

Post a Comment