Tuesday, 29 April 2014

Pemilihan PKR 2014:Pergaduhan & Penipuan Undi Menghiasi Pemilihan Calon @azminali @Khalid_Ibrahim @saifnasution @501awani


Ramai yang sedang hangat memperkatakan tentang kehebatan Azmin Ali yang serba boleh sebagai "pengarah dan ketua jentera diri sendiri" untuk memastikan semua ahli mengundi beliau tidak kisahlah sama ada melalui cara yang telus ataupun tidak. 

Semua ahli dalam parti sudah dapat menghadam fakta bahawasanya Azmin ialah calon favourite dan anak emas dalam pemilihan PKR dan sesiapa yang mahu merampas takhta dan jawatan Timbalan Presiden PKR haruslah mempunyai kredibiliti melebihi Azmin.

Buat masa ini, Azmin dilihat akan menang mudah bagi mengekalkan jawatan beliau sebagai orang no. 2 dalam PKR untuk penggal yang ke 2. Beliau mendahului saingan di setiap peringkat negeri semasa saringan pertama yang berlangsung hujung minggu lepas.Pengikut Azmin sebenarnya telah cuba untuk menggambarkan beliau sebagai calon 'underdog' dan 'bukan kegemaran' bagi menentang Pemimpin no 1 di Selangor iaitu Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dan Datuk Saifuddin Nasution, yang dikatakan mendapat restu dan sokongan kuat dari pasangan Ketua Umum dan Presiden.

Mereka bersungguh-sungguh merendah-rendahkan Azmin kepada beberapa wartawan dengan menyatakan ketua mereka tidak memikul tanggungjawab penting di dalam kerajaan negeri seperti Khalid mahupun mempunyai gelaran dari Sultan seperti Saifuddin.Mereka juga dengan penuh liciknya menyembunyikan fakta bahawasanya bos mereka sebenarnya mempunyai suatu 'network' yang lebih hebat dari kedua-dua lawannya iaitu keupayaan beliau untuk memegang kepercayaan semua ahli parti, dari akar umbi hinggalah ke ahli yang baru.

'Network' Azmin yang terdiri daripada rakan rapat dan sekutu ternyata telah membuktikan kesetiaan kepada beliau apabila Azmin mendahului calon yang lain.Keputusan undian dari 6 negeri yang sudahpun mengundi memperlihatkan Azmin mendapat 59% dari undian popular setakat ini. Khalid pula telah mendapat 25% manakala Saifuddin ketinggalan di belakang dengan 16% undian. Khalid masih mempunyai peluang untuk menyaingi Azmin namun kem beliau harus bekerja keras kerana perjalanannya masih berliku. Kem Khalid dikatakan lebih teratur dan kuat, ditunjangi oleh Setiausaha Politik beliau iaitu Azman Abidin.Khalid amat optimis kempen beliau yang bertemakan Integriti, Telus, Bersih akan memukau dan menarik undian terutama di bahagian bandar Pantai Barat dan peluang yang cerah di Sabah, iaitu negeri yang mempunyai ahli teramai.

Akan tetapi, perkara yang sama tidak dapat dikatakan di Sarawak meskipun beliau diterima dengan baik sepanjang berkempen di sana.Ini adalah kerana Azmin terlebih dahulu telah memastikan undian Sarawak berada dalam genggaman beliau setelah mendapat sokongan kuat dari orang kuat Sarawak Baru Bian, See Chee How dan Ali Biju. Ketiga-tiga ADUN dari Sarawak ini amat disenangi dan dikenali di Sarawak.

Dengan ini, Azmin telah menang di Lawas (kawasan Baru) dan Stampin yang mana See ialah Ketua Bahagiannya. Ali turut menyumbangkan 99% undian di Saratok kepada Azmin.Keputusan yang dijangka ini sekaligus menunjukkan Azmin menjangkaui dan diterima oleh pelbagai kaum di Sarawak yang mana Lawas ialah kawasan Orang Ulu, Saratok terdiri daripada orang Iban dan orang Cina di Stampin. Orang suruhan Azmin turut menyenangi tema kempen Azmin iaitu Keadilan Raya.

Kelantan turut menyaksikan satu keputusan yang di luarjangkaan. Negeri itu sepatutnya menjadi kubu kuat Saifuddin kerana beliau pernah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Machang dan pernah juga bertugas untuk seorang pemimpin PAS di Kota Bharu untuk bertahun lamanya. Sungguhpun begitu, keputusan undian tidak menyebelahi Saifuddin apabila beliau hanya dapat menggenggam 1/3 daripada undian yang diterima Azmin.

Prestasi buruk Saifuddin agak mengejutkan kerana rata-rata ramai yang membuat spekulasi "calon wahyu" seperti beliau yang mendapat sokongan kuat dari kedua-dua pasangan Ketua Umum dan Presiden sepatutnya menang mudah kerana di bawah restu Anwar Ibrahim dan Wan Azizah.

Terdapat 2 kemungkinan yang boleh menyebabkan Saifuddin tewas, yang pertama, beliau tidak mempunyai kredibiliti seperti Azmin di mata ahli akar umbi, dan keduanya, ahli akar umbi tidak menyenangi cara dan kuasa yang disalahguna oleh keluarga Anwar yang memegang hampir kesemua jawatan strategik di dalam parti itu.

Yang lebih mengejutkan tentunya Rafizi Ramli hampir dimalukan dalam insiden pengundian di cawangan Kemaman yang terpaksa dibatalkan separuh jalan. Sumber dalaman parti berkata Rafizi sedang mendahului apabila aduan dibuat tentang masalah teknikal dalam nombor pencalonan.

Rafizi sebenarnya ialah ketua jentera dan pengarah strategik di belakang Saifuddin dan kem ini menggelarkan diri mereka "Kuasa Ketiga" namun kuasa mereka ini akhirnya tidak membuahkan hasil apabila dimalukan dengan insiden jumlah keluar undi yang teruk dan kesilapan teknikal yang memalukan. 

Ahli yang memerhati calon-calon mereka mula bercakap-cakap tentang kehadiran pengundi hantu dan juga penipuan dalam undian, tetapi realitinya, antara barisan calon yang ada, hanya Azmin yang mampu dan berpengalaman sebagai ketua.

Malah, kehebatan Azmin Ali sebenarnya telah dapat menyaingi kehebatan dan kepopularan Presiden parti sendiri! 

Politik di dalam sebuah parti bukanlah seperti mee segera, yang hasilnya dapat dinikmati dan dijamah dengan masa memasak yang singkat. Untuk mempengaruhi dan memastikan ahli sentiasa berada dalam genggaman memerlukan masa yang panjang kerana keyakinan terhadap ahli perlu disemai terlebih dahulu. Di samping itu, seseorang ketua itu haruslah mempunyai jaringan rakan dan penyokong yang mempunyai niat dan impian yang sama dan seiring.

Perjalanan bagi calon-calon dalam Pemilihan PKR 2014 ini masih lagi panjang. Pemilihan kali ini dijangka akan ditentukan oleh negeri-negeri yang mempunyai ahli teramai, iaitu di Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur.

Perjuangan Saifuddin kini kelihatan sungguh tidak bermaya dan agak mustahil untuk beliau meningkatkan momentum jika boleh kalah di kubu kuat sendiri di Kelantan.

Dengan ini, persaingan sengit di Sabah, Selangor dan Kuala Lumpur sudah tentu di antara Azmin dan Khalid. Dengan pendedahan ini adakah jawatan Menteri Besar Khalid Ibrahim dalam bahaya? Kita semua sudah mengetahui kegagalan 'Kajang Move' yang dirangka Rafizi Ramli di mana Anwar Ibrahim akan ditabal sebagai MB baharu menggantikan Khalid. Namun, setelah Anwar menarik diri dari pencalonan ekoran kes liwat beliau, isteri beliau Wan Azizah yang akan menggantikan Anwar sebagai MB. Sesungguhnya, masalah dalaman parti PKR sebenarnya agak nazak untuk digambarkan.

Kekalutan di dalam parti dilihat sebagai satu kelebihan kepada parti lain di dalam Pakatan Rakyat. Adakah kita bakal melihat seorang ADUN DAP untuk menjadi MB baharu? Dengan pergaduhan, politik wang dan terbaru tangkapan di Sarawak yang menyaksikan jentera menyorokkan kertas undi dan menanda kertas undi di bilik hotel memberikan gambaran buruk betapa dangkalnya parti yang kononnya memperjuangkan keadilan dan ketelusan. Bagaimana mahu memerintah negara jika pemilihan dalam parti pun kucar kacir dan menipu? Kebajikan rakyat pun tidak berjaga dengan bermacam-macam bala yang melanda! Tahniah pada pengundi PR kerana anda menghalalkan penipuan pada skala yang boleh menghancurkan negara!!

No comments:

Post a Comment