Wednesday, 23 April 2014

Pemilihan PKR:Azmin Ali Anak Emas PKR,Dijangka Akan Selesa Sebagai Timbalan Presiden @azminali @saifnasution @n_izzah



Drama kontroversi suami-isteri merebut jawatan Presiden PKR telah berakhir semalam apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penarikan diri beliau dari bertanding menentang isteri beliau sendiri yang menyandang jawatan tersebut bagi penggal ke 5.

Biar apa pun yang terjadi, memang sudah terbukti tiada kerugian ataupun keburukan dengan penarikan diri Anwar kerana beliau akan tetap kekal sebagai Ketua Umum, satu jawatan yang tiada tugas spesifik namun mempunyai kuasa menjangkaui jawatan Presiden. Gelaran tersebut membenarkan segala perlakuan dan perbuatan Ketua Umum tidak akan diaudit dan dipersoalkan,suatu kelebihan yang sangat disukai Anwar.

Perkembangan terbaru dalam PKR menyebut bahawa Datuk Saifuddin Nasution, calon yang disokong kuat oleh Anwar Ibrahim untuk memenangi dan menyandang jawatan Timbalan Presiden tidak akan bertanding dan berkemungkinan kalah dalam perebutan kerusi emas itu.

Anwar seperti dapat menghidu sesuatu dan pengekalan jawatan isteri beliau seakan-akan telah membuktikan segalanya. 

Menurut sumber dalaman, Dr Wan Azizah sudahpun bersedia untuk bersara dalam arena politik ini dan mahu menyerahkan segala-segalanya kepada Anwar. Namun begitu, untuk berbuat demikian, kerusi Presiden Wan Azizah haruslah diisi oleh Timbalan Presiden atau orang ke 2 dalam parti tersebut, apatah lagi jika Anwar akan disabitkan penjara selama 5 tahun bagi kesalahan sodomi beliau.

Dr Wan Azizah tidak kisah malah merestui Saifuddin jika beliau yang mengambil alih jawatan Presiden dan bukannya Azmin Ali. Itulah punca mengapa Saifuddin secara tiba-tiba bersetuju untuk bertanding melawan Azmin Ali.

Dan keinginan Azizah untuk meletakkan sesiapa sahaja kecuali Azmin Ali sebenarnya berlainan dengan kehendak ahli yang lain.

Dengan berbekalkan hanya 3 hari sebelum hari pengundian, peluang Azmin Ali untuk kekal selesa sebagai orang no 2 nampaknya semakin cerah, jika dibandingkan dengan Saifuddin dan Tan Sri Khalid Ibrahim.

Azmin disambut bagaikan raja di lapangan terbang Kota Kinabalu semasa beliau hadir dalam rangka kempen ke Sabah minggu lepas. Penyokong beliau tidak putus-putus berkongsi gambar sambutan luar biasa tersebut di Whatsapp.

Datuk Lajim Ukim, yang dikatakan berpihak pada Dr Wan Azizah, telah menganjurkan acara khas untuk Azmin. Namun demikian, kelibat Lajim juga turut kelihatan semasa kempen TS Khalid.

Sabah dan Selangor merupakan dua negeri yang mempunyai paling ramai ahli parti tersebut.

Justeru, sesiapa yang dapat menawan kedua-dua negeri ini dikatakan mempunyai peluang tinggi untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden.

Umum mengetahui sejak sekian lama Selangor merupakan kubu kuat bagi Azmin dan tiada sesiapa yang akan berani menyoal arahan beliau, walaupun Khalid Ibrahim ialah Menteri Besar dan ketua negeri tersebut.

Khalid sememangnya Menteri Besar yang popular namun populariti beliau terhad kepada rakyat dan bukan ahli parti itu. 

"Sebagai MB, Khalid telah membuktikan kepimpinan beliau yang hebat. Tetapi jika kita berbicara soal kepayahan menggerakkan reformasi, Azmin memang ada di situ sejak hari pertama lagi" kata seorang ahli politik PKR dari Terengganu.

Kehadiran Khalid, yang menyertai parti itu pada tahun 2006, disambut baik oleh ahli dari banyak negeri. Ini kerana, penglibatan beliau dalam perniagaan dan dunia konglomerat sebelum ke arena politik telah melambakkan wang ringgit dan berjaya mengenyangkan ramai ahli yang sering dijamu di restoran dan hotel-hotel mewah semasa berkempen.         

Ada ketika pula beliau akan berkempen di warung dan kedai mamak juga.

Namun, malang bagi Khalid apabila imej beliau kini dirundung dengan masalah catuan air yang menyaksikan beliau diserang bertubi-tubi di sidang Dewan Selangor.

Azmin sebenarnya telah berjuang bersungguh-sungguh untuk berada di kedudukan beliau kini dan ramai ahli yang berpendapat adalah tidak wajar jika beliau dipinggirkan setelah apa yang telah dilaluinya. Tetapi mereka harus ingat bahawasanya dalam kehidupan orang lain pun ada pasang surutnya. Kadang-kadang kita boleh jatuh walaupun sudah berada di atas.

Azmin pada mulanya menjangkakan Saifuddin akan menjadi lawan terkuat beliau kerana Saifuddin telah berjaya meyakinkan Rafizi Ramli dan Nurul Izzah untuk berada dalam kem yang sama.

Rafizi ialah Ketua Strategi parti, manakala Izzah sedang cuba untuk mengekalkan jawatan Naib Presiden untuk penggal ke 2.

Dan kini, Izzah kelihatan seperti mahu keluar dari kem Saifuddin-Rafizi. Beliau kini lebih gemar untuk bergerak sendirian dan pernah juga dilihat berada di acara kempen Khalid.

"Saya menyuruh beliau untuk bebaskan diri dari sebarang kumpulan kerana nama beliau sahaja sudah cukup untuk mengekalkan jawatan beliau. Beliau sudah semestinya tidak memerlukan Saifuddin, kerana mereka ini akan hanya menenggelamkan nama Izzah" ujar ahli politik Terengganu itu lagi.

Sebuah portal pro-Pakatan telah meuar-uarkan "Saifuddin selayaknya dapat menandingi Azmin". Akan tetapi, Saifuddin masih lagi kekurangan sesuatu yang istimewa untuk membuatkan ahli parti melupakan Azmin.

Satu gambar yang memaparkan Saifuddin dan Rafizi berucap di dewan komuniti yang lengang di Batang Kali, Selangor sudah pun bertebaran di media sosial, sekaligus membuktikan ketidakunggulan Saifuddin di mata ahli parti. 

Satu lagi gambar memperlihatkan kedua mereka menunggu ahli parti untuk datang di dewan yang lain pula.

Kedudukan Izzah sangat selesa dengan "branding" beliau sebagai anak Ketua Umum dan Presiden, namun keselesaan itu tidak dapat dirasai oleh Rafizi. Rafizi digemari oleh golongan muda dalam parti tersebut, namun tidak bagi yang senior oleh kerana kontroversi "Kajang Move" beliau yang menemui kegagalan. Ramai golongan senior yang marah dan tidak puas hati dengan Rafizi kerana mengaturkan strategi yang sia-sia yang membazirkan wang rakyat.

Pada mereka strategi Rafizi ini adalah suatu yang dirangka oleh mereka yang "duduk dan hidup selesa di dalam bilik berhawa dingin" yang mana semua mengetahui kehidupan Rafizi yang jarang berjuang di padang bersama-sama rakyat.

Lebih-lebih lagi, seperti yang diberitahu oleh ahli politik PKR dari Terengganu itu, Pakatan telah kalah dalam 3 kerusi keramat iaitu di Kemaman (Rafizi merupakan Ketua Jentera), Kulim Bandar Baru (calon ialah Saifuddin pada 2013) dan Machang (kerusi Saifuddin pada 2008).

"Tidak perlu berbicara tentang kuasa, jika kalah teruk di kerusi yang strategik",

Minggu lepas menyaksikan pelancaran kempen Azmin, yang mana beliau telah menjemput ADUN Lunas Azman Nasaruddin untuk membuka majlis.

Beliau yang selesa disapa dengan nama Cikgu Azman di kalangan penduduk setempat, sedang melobi untuk jawatan Ketua Cawangan Padang Serai, iaitu cawangan terbesar parti di negeri Kedah.

Azman dilihat bersungguh-sungguh menyokong dan berada di belakang Azmin, ini juga sedikit sebanyak memberi petunjuk kepada Saifuddin, yang juga dari Kedah bahawa Azmin lebih disenangi dan diberi sokongan padu di negeri itu.

Terlalu banyak drama dan lobi melobi yang sedang berlaku di Istana Segambut. Sudah tiba masanya untuk Anwar memberi peluang kepada ahli-ahlinya untuk membuat keputusan tanpa diarah oleh beliau seperti selalunya.     

No comments:

Post a Comment