Sunday, 20 April 2014

'Tak Ada Tanah Lain Ke Di Negeri Ini?' @Khalid_Ibrahim #pkps


Kira-kira 336 penduduk juga waris peneroka yang mengusahakan tanaman kelapa sawit dan pokok kelapa di Hutan Simpan Sungai Karang, Sungai Besar berkemungkinan hilang punca pendapatan sekiranya kerajaan negeri bertegas mengambil alih tanah di kawasan terbabit.

Penduduk mendakwa, tanah diusahakan penduduk yang diteroka sejak 1948 itu akan diambil alih Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) bagi tujuan menambah sumber pendapatan ekonomi negeri.

Tindakan itu jelas menggambarkan kerajaan negeri yang disifatkan sebagai terdesak hingga sanggup melihat kesengsaraan rakyat yang selama ini bergantung kepada hasil ekonomi itu bagi menampung kos sara hidup.

Malah, tiga keluarga yang menetap di hutan simpan itu juga bakal hilang tempat tinggal jika kawasan itu diambil alih kerajaan negeri bagi projek tanaman kelapa sawit yang diusahakan sepenuhnya oleh PKPS.

Penduduk, Azmi Saleh, 39, berkata, dia sudah menetap di hutan itu sejak lahir dan masih menetap di situ kerana tidak memiliki tanah lain untuk berpindah.

Biarpun tidak dilengkapi kemudahan elektrik, baginya sudah selesa tinggal di hutan itu, asalkan metidak hidup berhutang dan mampu menyara keluarga hasil mengusahakan tanaman kelapa sawit.

“Ke mana kami nak berpindah? Harga tanah pun mahal. Kawasan ini sajalah tempat bergantung kami sekeluarga, kalau diarah pindah mungkin kami terpaksa hidup merempat,” katanya.

Penduduk tiada pilihan 

Seorang lagi penduduk, Rosliza Rahami, 35, berkata, penduduk tidak mempunyai pilihan jika diarah pindah kerana tidak memiliki geran, tetapi kesal dengan tindakan kerajaan negeri seolah-olah menzalimi rakyat yang meneroka tanah itu sekian lama.

“Tak ada tanah lain ke di negeri ni nak dibangunkan projek tanaman kelapa sawit? Kenapa mahu ambil apa yang diusahakan penduduk. Tindakan ini tak ubah macam menzalimi kehidupan rakyat,” katanya.

Seorang pengusaha tanaman kelapa sawit, Ahmad Intan, 53, berkata, walaupun dia tidak lagi menetap di hutan itu, namun masih memiliki tanaman kelapa sawit di kawasan seluas tiga ekar yang menjadi sumber rezekinya selama ini.

Katanya, dia difahamkan PKPS akan mengambil alih tanaman kelapa sawit yang diusahakan penduduk dan hanya memberi peluang pekerjaan kepada mereka tanpa sebarang pampasan setimpal.

“Ibaratnya jika hari ini kami jadi pengusaha kelapa sawit, nanti apabila PKPS ambil alih, semua pokok kelapa sawit jadi milik mereka, dan kami dijadikan kuli (pekerja) sajalah, kalau kerja (bekerja dengan PKPS) ada gaji, kalau tak kerja tak dapat gaji,” katanya sambil memberitahu situasi itu memberi tekanan kepada penduduk yang mengusahakan tanaman itu.

Ahmad berkata, rata-rata penduduk mengusahakan tanaman kelapa sawit sudah berusia dan tidak lagi larat mengait buah sawit, melainkan mengupah pekerja menguruskan tanaman terbabit.

“Kami sendiri pun terpaksa upah anak-anak saudara kait sawit, inikan pula kami disuruh kerja dengan mereka. Berapa sangat yang boleh dibayar PKPS, dalam keadaan usia kami yang semakin tua,” katanya.

No comments:

Post a Comment