Tuesday, 27 May 2014

Salam Isra' Mikraj 1435H - Perutusan YAB Perdana Menteri Malaysia Sempena Peristiwa Isra’ Dan Mikraj 1435 Hijrah

Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia, Saudara dan saudari sekalian,

1.    Pertamanya, kita memanjat kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana di atas taufik dan inayahNya dapat kita menyambut ketibaan peristiwa agung iaitu Isra’ dan Mikraj bersama umat Islam seluruh dunia. Ianya merupakan satu peristiwa besar dalam Kalendar Sirah Islam yang berlaku pada tahun ke-11 selepas kenabian Rasulullah SAW.

2.    Kemuliaan Nabi Muhammad SAW telah dibuktikan penyaksiannya pada malam itu melalui firman Allah SWT, dalam surah An Najm ayat-18 yang bermaksud:

“Demi sesungguhnya, dia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya.”

3.    Sesungguhnya peristiwa Isra’ dan Mikraj mengajar kita supaya sentiasa berpegang kepada kebenaran sekalipun kebenaran itu mungkin tidak difahami dan disenangi oleh orang lain. Inilah hakikat yang dipegang oleh Nabi Muhammad SAW ketika baginda menyampaikan peristiwa ini kepada kaumnya. Justeru, umat Islam pada hari ini harus berhati-hati agar tidak mudah terpengaruh dengan tohmahan, tuduhan dan fitnah semata-mata tanpa berlandaskan kepada fakta yang sahih dan benar.

4.    Seterusnya, antara hikmah bersejarah di sebalik peristiwa Isra’ dan Mikraj ini adalah sebuah persahabatan yang ikhlas sebagaimana yang ditunjukkan oleh Abu Bakar RA sehingga beliau mendapat gelaran As-Siddiq (yang benar) kerana terus membenarkan kata-kata Nabi Muhammad SAW berkenaan peristiwa Isra’ dan Mikraj. Situasi ini mengajar kita bahawa kehidupan ini tidak semata-mata berpaksikan diri dan keluarga sahaja, bahkan ianya meliputi jiran tetangga dan sahabat handai yang harus mengutamakan keikhlasan dan kejujuran.

5.    Justeru, jambatan silaturrahim perlu dijaga atas dasar perjuangan agama, permuafakatan, saling membantu, berkasih sayang tanpa mengira bangsa dan agama. Inilah tonggak keharmonian dan perpaduan di negara kita yang perlu dipertahankan bersama-sama. Peringatan peristiwa ini diharap dapat menggerakkan semangat kesatuan bertunjangkan wasatiyyah serta mengukuhkan persaudaraan sesama umat Islam.

6.    Isra’ dan Mikraj yang merupakan peristiwa yang sangat signifikan dalam sejarah perjuangan Islam sehinggakan pengajarannya tetap relevan hingga kini. Kaitkanlah apa sahaja yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dengan apa yang telah, sedang dan akan kita lalui kini. InsyaAllah, di situlah nanti akan terserlah kekuatan dan keberkesanan dalam setiap pemikiran dan tindakan kita. Walaupun kita sudah diangkat oleh Allah SWT menjadi Khaira Ummah (umat terbaik), tetapi kita masih perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai natijah yang terbaik iaitu mendapat keredhaan dari Allah SWT.

7.    Oleh yang demikian, sempena peristiwa hebat Isra’ dan Mikraj ini, marilah kita bersama-sama mengambil iktibar bahawa sesungguhnya Nabi Muhammad SAW telah sampai ke Sidratul Muntaha sebagai insan yang paling tinggi kedudukan di sisi Allah SWT. Sewajarnya kita meneladani segala sunnah yang ditinggalkan oleh insan agung ini untuk kesejahteraan hidup kita di dunia dan akhirat.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakaatuh.

No comments:

Post a Comment