Monday, 9 June 2014

#GST untuk sesetengah barang sahaja, TAK BEBANKAN rakyat. #FahamiGST

Kerajaan akan mengemukakan senarai barangan yang dikenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kepada masyarakat dalam tempoh terdekat.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, GST yang dilaksanakan mulai April tahun depan itu akan terdapat barangan yang cukainya turun, naik dan tidak berubah.

"Nanti kita akan beri senarai kenapa terdapat barangan yang cukainya naik sedikit.

"Barangan yang lima peratus cukai sekarang enam peratus, barangan yang enam peratus cukai tetap kekal dan yang 10 peratus turun menjadi enam peratus," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu kepada stesen radio KelantanFM di sini hari ini.

Ahmad Maslan yang juga Ketua Penerangan UMNO berkata, kerajaan memberi jaminan GST yang akan dilaksanakan itu tidak akan membebankan rakyat.

"Rakyat tidak akan terasa beban, kerana model GST yang dilaksanakan di Malaysia ini turut memberikan pengecualian cukai kepada beberapa barangan dan kadar sifar kepada barang makanan," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, kerajaan akan terus memberikan penerangan dan penjelasan mengenai GST kepada seluruh rakyat di negara ini.

Katanya, melalui sesi penerangan fasa kedua, ia akan melibatkan 134 Parlimen dalam usaha memberi kefahaman kepada rakyat terhadap sistem berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan empat ceramah di setiap kawasan Parlimen yang akan dikelolakan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta pemimpin setempat.

"Kita akan buat seberapa banyak ceramah sebelum Ramadan ini dan ceramah tersebut akan disampaikan oleh pegawai kastam negeri dan pusat di samping turut dibantu oleh pihak Kementerian Kewangan.

"Penceramah tempatan yang telah menghadiri kursus mengenai GST bolehlah membantu pegawai kastam untuk memberikan ceramah," katanya.

Dalam pada itu, tambahnya, orang ramai juga digesa mencari maklumat mengenai sistem cukai itu di portal GST jika ingin memahaminya dengan lebih jelas.

"Apa yang kita harapkan ialah rakyat secara proaktif mencari maklumat, ini kerana maklumat mengenai cukai berkenaan boleh diperoleh melalui portal yang telah disediakan," katanya.

UTUSAN



No comments:

Post a Comment