Monday, 21 July 2014

ISMA:Gadis Melayu Jadi Topeng Wajah Bahaya DAP @syefuraothman



Naib Presiden ISMA, Encik Abdul Rahman Mt Dali menyifatkan tindakan menonjolkan gadis Melayu dalam DAP adalah satu taktik terkini yang licik, nakal serta menjijikkan.

“Dalam pimpinan DAP mana ada orang Melayu, tetapi tiba-tiba mereka tonjolkan gadis-gadis Melayu yang dibahasakan ‘cun’ seolah-olah tidak ada lagi gadis-gadis Cina dalam parti itu yang paling perlu dihargai untuk ditonjolkan. 

“Begitu sekali DAP cuba memperdayakan anak muda. Saya katakan ia ‘very disgusting tactic! 

“DAP menggunakan gadis Melayu untuk menjadi topeng kepada wajah bahaya perjuangan parti itu terhadap kedudukan orang Melayu dan agama Islam.

“Saya pasti, DAP berjuang kerana mahu berkuasa dan mengubah kedudukan orang Melayu dan Islam di tanahair ini,” tegas beliau kepada ISMAweb.

Baru-baru ini seorang lagi gadis Melayu, Syefura Othman mengakui menjadi ahli seumur hidup DAP setelah mana Dyana Sofya Mohd Daud juga berbuat demikian dan dipertaruhkan sebagai calon pilihan raya kecil Teluk Intan Mei lalu. 

Ujar Encik Rahman, ini memperlihatkan bahawa DAP sudah berjaya memperdaya anak-anak Melayu. Ini menunjukkan mereka tidak memahami sejarah Melayu, agama Islam di Tanah Melayu, perjuangan terdahulu dan kontrak sosial yang terkandung di dalam perlembagaan Persekutuan. 

“Sekiranya mereka faham pasti mereka tidak akan menyertai dan berjuang di dalam DAP.

“Sekiranya gadis-gadis Melayu itu faham ideologi dan perjuangan DAP mereka tidak akan sanggup melihat bangsa sendiri dan Islam dihakis oleh pihak seperti DAP,” kata beliau.

Dalam pada itu, Syefura juga dalam satu kenyataan menyifatkan DAP sebagai sebuah parti yang ‘cool’ dan bersifat terbuka, kerana itu dia tertarik bersama parti DAP.

Bidas Encik Rahman, ‘cool’ DAP yang dimaksudkannya itu benar-benar menggambarkan betapa jahilnya dia dengan perjuangan DAP.

“Masa dahulu kita tidak boleh pandang lambang roket DAP kerana faham akan perjuangan Sosialis dan konsep Malaysian Malaysia parti itu, tapi kini sudah sampai ke tahap ada anak gadis Melayu, rasa cool’ dan sanggup berjuang dalam parti itu.

“Gadis-gadis itu kemungkinan besar akan diusung ke sana ke mari oleh pemimpin-pemimpin DAP untuk mempromosi bagi mengambarkan ia imej mesra Melayu dan Islam.

“Sebenarnya,itulah petanda-petanda kecairan dan reputnya jati diri dalam diri di kalangan sesetengah anak muda Melayu kini, ” ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment