Monday, 4 August 2014

KEKAL ATAU GUGUR, SELANGOR TETAP KUCAR KACIR @Khalid_Ibrahim @KhalidSamad @anwaribrahim @rafiziramli



Sebagai anak jati Selangor, apa yang berlaku ketika ini cukup menakutkan. Kemelut jawatan Menteri Besar Selangor wajib dilihat dalam konteks meluas dan bukan sekadar berlegar di persoalan sama ada Tan Sri Khalid akan kekal atau undur.

Rakyat di negeri selangor serta anak jati Selangor perlu bersedia menghadapi keadaan yang lebih teruk. Ini kerana negeri Selangor akan menjadi tanpa ketua (leaderless) dan hilang arah selama yang mungkin. Malah tidak mustahil akan kekal begitu sehingga PRU14.

Mari kita analisa kemungkinan yang bakal berlaku selepas daripada kemelut ini.

Jika TS Khalid kekal sebagai MB, beliau tidak akan dapat memerintah dengan lancar. Barisan exco, ahli majlis perbandaran tempatan serta ahli akar umbi tidak bersatu di bawah pemerintahan beliau.

Sebarang dasar yang dikemukakan oleh TS Khalid bergantung kepada sokongan parti komponen (PAS) dan parti lawan (UMNO) kerana partinya sendiri (PKR) dan DAP tidak berada di belakang beliau. Oleh itu dasar tersebut tidak dapat dilaksanakan dengan baik dan kemungkinan untuk disabotaj oleh seterunya amatlah tinggi.

Sebarang usaha untuk 'neutralise' mereka yang anti MB akan dilihat sebagai tidak demokratik dan akan ditentang. Di akhirnya TS Khalid hanya menguruskan negeri seperti pekerja yang menanti usia saraan wajib lagi setahun dua. Tidak agresif, tiada visi dan main selamat.

Tetapi adakah ini bermakna keadaan akan menjadi lebih baik sekiranya MB Selangor ditukar? Tidak semestinya, malah mungkin menjadi lebih teruk.

Jika TS Khalid berjaya digantikan, penggantinya juga tidak mendapat sokongan penuh setiap parti komponen. Bukan sahaja MB baru tidak dapat melaksanakan visi beliau kerana perlu berkompromi, beliau pula terdedah dengan rampasan kuasa seperti yang berlaku terhadap TS Khalid. Jika PKR boleh menukar MB mengikut cara belakang, apa jaminan pihak lain atau parti lain untuk tidak berbuat perkara yang sama?

MB Selangor baru atau lebih tepat lagi Dr Wan Azizah akan berasa gelisah kerana pada bila-bila masa sahaja jawatan tersebut boleh bertukar tangan. Boleh jadi dirampas oleh YB Azmin Ali- yang kita tahu kepingin jawatan tersebut. Atau boleh juga dirampas oleh PAS-parti yang memiliki kerusi terbanyak. Atau mungkin kembali kepada TS Khalid balik. Di dalam politik yang sudah dicatur kotor, apa sahaja boleh berlaku.

Jika inilah keadaannya, MB baru akan menghabiskan masanya untuk berpolitik, untuk menangani tentangan musuh dan untuk memikirkan strategi mengekalkan jawatan. Jadi bila masa MB baru akan mentadbir negeri? Situasi ini samalah seperti CEO di syarikat yang bekerja hanya untuk memastikan Pengerusi syarikat berasa gembira dengan harapan jawatannya akan disambung. Dalam konteks parti politik, Pengerusinya adalah Ketua Pembangkang. Dalam konteks yang lebih mendalam, Pengerusinya adalah suami kepada bakal MB Selangor baru iaitu Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Selain daripada kemungkinan yang telah disebutkan tadi, persoalan yang lebih tuntas adalah bagaimana Dr Wan Azizah mampu menangani isu-isu yang rumit seperti pengstrukturan industri air, pembinaan lebuh raya baru dan kerakusan ekstremis agama serta nafsu taikun-taikun korporat? Beliau tidak ada pengalaman di dalam dunia korporat mahupun rekod yang cemerlang sebagai seorang presiden parti yang 'call the shots'.

Menyedari hakikat ini, berkemungkinan besar, MB Selangor baru hanyalah MB di atas kertas tetapi MB sebenar adalah di belakang tabir atau di sebelah bantal.

Sudah jelas Selangor akan menjadi kucar kacir. Tetapi yang lebih menyedihkan lagi apabila di sebalik kemelut politik ini, rakyat Selangor tidak akan menghukum Pakatan Rakyat. Macam mana hodoh pun perebutan kuasa yang berlaku, pengundi di Selangor tetap di belakang Pakatan Rakyat kerana mereka tidak ada pilihan dan alternatif.

Barisan Nasional Selangor bukanlah alternative yang setaraf dengan Pakatan Rakyat di Selangor. Sehingga ke hari ini, masih tidak ada dan tidak boleh difikirkan siapakah calon yang setaraf TS Khalid untuk dijadikan sebagai MB Selangor. Pengerusi perhubungan negerinya masih orang yang sama. Malahan jentera parti juga gagal untuk menggunakan segala kepincangan yang berlaku di Selangor untuk mengukuhkan persepsi dan penerimaan terhadap parti mereka. Mungkin disebabkan ini juga menjelaskan mengapa mereka juga seperti tidak berminat untuk memerintah Selangor.

Tanpa alternatif untuk rakyat di Selangor hanya membuktikan bahawa Selangor 'are really screwed' atau begitu kucar kacir. MB mereka yang mentadbir dengan bagus (‘sterling performamce’ bak kata Rafizi Ramli) ditukar. Penggantinya tidak setaraf. Parti alternatif pula tidak lebih bagus. Dan lebih memalukan, politik di Selangor ditentukan oleh orang luar dan bukan anak jati Selangor.

Begitu lekehkah ahli politik yang merupakan anak jati selangor sehingga politik di negeri ini ditentukan oleh orang Permatang Pauh dan Kemaman? Bagaimana negeri yang paling maju dalam serba serbi ini begitu ketandusan calon yang berkualiti?

Malang sungguh negeri terkaya dan termaju ini.

Nota kaki: Kerajaan Selangor dalam proses memuktamadkan pengstrukturan air yang mana akan menjamin bekalan air supaya tidak lagi berlaku krisis air.

MatRodi
Selayang, Selangor

No comments:

Post a Comment