Tuesday, 26 August 2014

#KongresPKR Gagal Bersihkan Nama #PKR @anwaibrahim @rafiziramli



Dengan pertelingkahan dalaman PKR di Selangor yang semakin hari semakin mengarut, juga dengan pemilihan parti yang akhirnya selesai – diiringi kerusi terbang dan pergaduhan antara ahli, seluruh mata tertumpu pada Kongres Nasional PKR ke-10 yang diadakan baru-baru ini.

Rata-rata mahu melihat apakah yang akan menjadi perdebatan atau isi ucapan pemimpin-pemimpin atasan juga perwakilan parti kerana dari situlah hala tuju PKR boleh di ramal.

Namun, apa yang boleh dikumpul dari kongres selama tiga hari itu cuma cakap-cakap penyedap sesama sendiri. Jika benar Pakatan Rakyat teguh dengan tahaluf siyasi antara mereka, tidak nampak dimana keperluan Presiden parti menekankan berkali-kali bahawa gabungan mereka berada dalam keadaan baik-baik sahaja.


Mungkin Presiden parti melihat ahli-ahlinya perlu ditenteramkan, lebih-lebih lagi kongres kali ini tidak dihadir oleh pemimpin-pemimpin besar dari PAS, hanya Khalid Samad yang duduk diatas pentas bersama Presiden dan Ketua Umum parti.

Pentas kongres menjadi medan puji-memuji sesama sendiri, sesama ahli keluarga dan sesama ‘rakan karib’. Yang anak kata ibunya adalah pemimpin yang paling layak menyandang kerusi empuk Menteri Besar. Yang seketika terpinggir pula sibuk mencabar penghakiman dilakukan secara langsung kerana ketua tertinginya dizalimi. Itu belum kira yang diboikot, yang mengampu, dan yang cuba kekal relevan. Isu-isu nasional banyak yang terpinggir.

Disebalik semua itu, yang paling menarik adalah bagaimana Ketua Umum parti itu cuba ‘berlembut’ dan menjustifikasikan langkah menyingkirkan Menteri Besar Selangor sedia ada. Bermain dengan sentimen penuh emosi, Anwar dan isteri menegaskan bahawa Khalid adalah seperti keluarga sendiri dan tindakan penyingkirannya dibuat setelah mereka berada dalam dilema tentang bagaimana cara melembutkan kedegilan Menteri Besar itu.

Walau berkali-kali menyatakan bahawa beliau tidak mahu memburuk-burukkan Khalid, satu-satu ‘kesilapan’ Khalid dikupas dan dibahas. Meskipun tuturnya lembut namun pasti terkesan dihati. Apatah lagi yang dipilih untuk mengganti Khalid adalah proksi Ketua Umum sendiri. Tapi seperti kata Rafizi, kalau tak suka parti ini, boleh angkat kaki.

Nampaknya, masa depan PKR pusing-pusing hanya pasal Anwar. Tidak perlu menafikan yang sahih. Tidak perlu skrip parti ditubuhkan untuk rakyat, perjuangannya untuk rakyat, kerana pi mai pi mai, matlamatnya hanya untuk menyempurnakan kehendak Ketua Umum. Kalau tidak, masakan ada yang berani berkata akan bermati-matian mempertahankan Anwar.


No comments:

Post a Comment