Wednesday, 13 August 2014

#KrisisSelangor :Exco #Selangor Dipecat Kerana Langgar Sumpah @Khalid_Ibrahim


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, keputusan untuk memecat lima orang anggota Exconya adalah berpunca daripada keenganan mereka untuk ‘mengikat’ janji sumpah setia yang dilafazkan mereka ketika mengangkat sumpah jawatan.

Jelas Abdul Khalid, kenyataan yang dibuat lima orang anggota Exco itu jelas melanggar sumpah taat setia kepada Sultan Selangor dan menteri besar.

Oleh itu, kesemua Exco terbabit tidak boleh diteruskan perkhidmatan mereka kerana telah mengeluarkan kenyataan bersama untuk tidak mahu mempunyai sebarang hubungan dengan menteri besar dan hanya menghadiri mesyuarat Exco untuk memantau beliau.

“Kita berpendapat bahawa lima Exco tersebut tidak boleh diteruskan perkhidmatan mereka setelah mengeluarkan kenyataan bersama untuk tidak mempunyai sebarang hubungan dengan menteri besar.

“Kenyataan ini sekaligus bercanggah dengan 10 Aku Janji dan Sumpah Kesetiaan yang telah dilafazkan ketika mengangkat sumpah di hadapan sultan,” katanya menerusi laman Facebooknya, hari ini.

Lewat semalam, Abdul Khalid mengumumkan telah memecat kesemua Exco DAP dan PKR.

Namun pun begitu,menurut Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim, pemecatan kesemua exco tersebut tidak diiktiraf Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor.

Oleh itu, kesemua Exco Selangor yang dipecat Abdul Khalid petang semalam tetap akan meneruskan tugas mereka seperti biasa, hari ini.

No comments:

Post a Comment