Friday, 15 August 2014

#KrisisSelangor Mengapa #PAS Curiga Dengan Keikhlasan Sokongan #UMNO ? @NajibRazak @Khalid_Ibrahim



Pemimpin PAS diingatkan tidak memandang serong terhadap sokongan Barisan Nasional (BN) supaya Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai Menteri Besar Selangor.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee menjelaskan, sokongan BN termasuk UMNO supaya Khalid kekal sebagai Menteri Besar berasaskan kepada kepentingan rakyat.

“Saya minta pemimpin PAS terutama Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad jangan buruk sangka dan memandang sinis terhadap sokongan tersebut,” tegasnya dalam satu kenyataan menerusi blognya hari ini.

Tambah beliau, BN dan UMNO tidak bermain politik dalam isu politik di Selangor tetapi melihat krisis tersebut jika terus berpanjang akan merugikan rakyat.

Beliau berkata, pemimpin UMNO melihat perlakuan politik Penasihat Umum PKR, Datuk Seri Anwar ibrahim yang mendalangi krisis tersebut sudah berada ditahap diluar kewarasan berpolitik.

“Anwar sanggup menggulingkan Khalid hanya untuk memenuhi nafsu politiknya bagi kepentingan keluarga dan kroni,” tegasnya.

Khalid jelas beliau tidak melakukan kesalahan jenayah termasuk salah laku moral yang membolehkan beliau dilucutkan daripada jawatan Menteri Besar secara sewenang-wenangnya.

Lagipun kata beliau, krisis perebutan jawatan Menteri Besar secara tidak langsung telah merencatkan kelicinan pentadbiran kerajaan negeri dan sekaligus membebankan rakyat.

“Atas faktor itu, UMNO menyatakan sokongan terbuka kepada Khalid supaya kekal sebagai Menteri Besar,” katanya.

Syed Ali menyifatkan sindiran sinis yang dibuat oleh Ahli Parlimen Shah Alam itu terhadap Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai tidak wajar sewaktu pemimpin tertinggi PAS sendiri memihak kepada Khalid.

“Mengapa wakil rakyat PAS itu curiga dengan keikhlasan sokongan UMNO ? apakah beliau bimbang kepentingannya akan tergugat jika Khalid terus kekal sebagai Menteri Besar,? soal Syed Ali.

Beliau kesal kerana wakil rakyat PAS itu seperti menyindir Muhyiddin dengan mendakwa sokongan BN terhadap Khalid seperti ‘berlebihan’ berbanding Menteri Besar daripada UMNO.

Dalam blognya, Khalid berkata BN nampaknya memberikan sokongan kepada Menteri Besar Selangor melebihi sokongan yang pernah diterima MB dari parti itu sendiri.

Beliau mengeluarkan kenyataan sinis sebagai mengulas sokongan ‘ikhlas dan tanpa syarat’ daripada Muhyiddin terhadap Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.

Tambah Syed Ali lagi, kenyataan wakil rakyat PAS Shah Alam itu dilihat bercanggah dengan pendirian pemimpin tertinggi parti itu.

“Inilah (Khalid) dikatakan anai-anai yang boleh merosakkan semangat kerjasama antara PAS dan UMNO dalam isu politik di Selangor,” tegasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menjelaskan tidak timbul dakwaan sesetengah pihak UMNO mengambil kesempatan di atas kecelaruan politik di Selangor.

“UMNO lebih memahami situasi berkenaan dan bukan perkara mudah untuk menjalin hubungan politik dengan PAS yang selama ini jelas menolak sebarang bentuk kerjasama.

Bagaimanapun tegas beliau, BN dan UMNO tidak mahu melihat rakyat Selangor terus tersepit dan terabai akibat percaturan dan kerakusan politik yang dilakukan oleh Anwar.

Mengulas kedudukan Khalid selaku Menteri Besar Selangor, Syed Ali menjelaskan pertikaian tersebut hanya dibuat oleh PKR dan DAP.

“Apabila mereka masih lagi mempertikaikan kedudukan Khalid selaku Menteri Besar, bermakna pembangkang seolah-olah tidak memperdulikan perkenan Sultan,” tegasnya.

Berhubung kemungkinan Khalid bakal berdepan dengan undi tidak percaya pada persidangan DUN Selangor tidak lama lagi, beliau menaruh keyakinan perkara itu tidak akan berlaku.

“Memang kita tahu Anwar akan merancang strategi baru untuk menjatuhkan Khalid, tetapi Anwar juga harus menerima hakikat bahawa istana Sultan Selangor tidak perkenan dengan usaha beliau (menukar Menteri Besar),” ujarnya.

Dalam hal ini, beliau menyifatkan Anwar sebagai pemain politik yang suka ‘mengemis ehsan’ rakyat untuk mendapatkan sokongan.

Jelas beliau lagi, rakyat Selangor sudah dapat melihat wajah sebenar Anwar yang tergamak menghalalkan cara untuk memuaskan nafsu politiknya.

No comments:

Post a Comment