Friday, 29 August 2014

@NajibRazak #PMGentleman, Kritikan Mahathir: Hormati Tun Sebagai Negarawan, Harap Dapat Urus Sebaiknya



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak beranggapan teguran oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai soal dalaman UMNO.

Najib menegaskan bahawa pemimpin Umno tetap menyokong barisan kepimpinan sedia ada di masa sama mereka juga menghormati pandangan Mahathir sebagai negarawan yang disegani.

“Perkara ini daripada segi pendirian Umno, mereka memberi sokongan kepada kepimpinan sedia ada.

“Di samping itu mereka menghormati Tun (Mahathir) sebagai the elder statesman (negarawan kanan), jadi kita anggap ini sebagai soal dalaman Umno.

“Kita harap ia dapat diuruskan dan ditangani dengan sebaik-baiknya,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Umno petang ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengeruskan mesyuarat majlis Tertinggi UMNO, di sini, hari ini.

Dr Mahathir baru-baru ini menarik sokongan yang diberikan kepada Najib kerana menyifatkan presiden Umno itu terlalu berlembut dalam hal yang menyentuh kepentingan negara.

Katanya, undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan menyebabkan ramai ketua penjahat kini yang sedang berkeliaran.

Dalam perkembangan lain Datuk Seri Najib yang juga Presiden UMNO turut memberitahu program penerangan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan diadakan secara besar-besaran pada 10 September ini.

“Majlis Tertinggi telah dimaklumkan tentang program penerangan GST besar-besaran pada 10 Sept di mana 2,500 peserta akan hadir dan kita harap ini merupakan sebahagian daripada siri untuk meperjelaskan tujuan GST yang ingin kita laksanakan pada tahun depan,” ujarnya.

Program penerangan GST yang dikenali sebagai Penerangan Perdana GST akan melibatkan Ketua Penerangan Sayap serta cawangan empat peringkat UMNO seluruh negara dan ianya akan diadakan di Dewan Merdeka PWTC.

Majlis akan bermula pada pukul 2 petang hingga 6.30 petang dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

No comments:

Post a Comment