Friday, 19 September 2014

#MuktamarPAS: Perwakilan mendoakan #MatSabu Selama 25 Minit Dikecam



Muktamar PAS kecoh lagi dan kali ini apabila salah seorang perwakilan bertindak mengambil peluang dalam ucapannya untuk membacakan doa mengutuk Timbalan Presidennya sendiri Mohamad Sabu dan dua ADUN parti itu di Selangor.

Dalam doa oleh wakil PAS Wilayah Persekutuan, Azhari Ariffin sepanjang 25 minit itu, beliau memanjatkan doa agar Mohamad Sabu tidak akan mengeluarkan kenyataan bertentangan dengan presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Manakala dua ADUN yang dimaksudkannya itu ialah Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib).

Ini kerana dua ADUN tersebut sebelum ini menyokong presiden PKR sebagai calon menteri besar Selangor yang baru dalam pengakuan berkanun mereka yang dilihat melanggar keputusan majlis ulama.

Beliau juga berkata Saari dan Hasnul ibarat ejen perosak dalam parti itu, dengan memetik perumpamaan “nila setitik yang merosakkan susu sebelanga”.

“Sekarang kita ada dua nila – satu Cap Hulu Kelang dan satu Cap Morib, mereka nila yang sangat beracun,” katanya dalam doa itu sambil menadah tangan.

Kebanyakan perwakilan yang bersidang di bawah khemah besar di Parit Salleh Ros, Batu Pahat itu dilihat turut menadah tangan.

Doanya yang meleret-leret sehingga lebih 25 minit itu memaksa pengerusi tetap muktamar, Abu Kassim Abdullah mengulangi peringatan agar beliau menamatkan ucapan.

Suasana di Muktamar kemudiannya gamat seketika apabila salah seorang ahli PasMa meluru naik pentas merampas mikrofon dan menuntut agar tindakan dikenakan ke atas Azhari.

Beliau juga meminta pengerusi tetap mengeluarkan ketetapan sama ada tindakan membaca doa yang mengutuk orang lain dalam parti itu dibolehkan dalam persidangan.

No comments:

Post a Comment