Thursday, 11 September 2014

#PRKPengkalanKubor: Calon PAS Berhaluan PKR Dan Berkiblatkan Anwar??



SAH Pas akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor, N01.

Pas yang memerintah negeri ini hampir 25 tahun telah mendapat kembali kerusi yang ‘dipinjamkannya’ kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) selama dua penggal berturut-turut.

Satu ‘teka-teki’ politik telah terjawab namun apakah jawapan untuk ‘teka-teki’ kedua, siapa calon daripada Pas masih lagi tergantung. Khamis ini parti yang dipimpin oleh ulama, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu akan mengumumkannya.

Pada pilihan raya kecil (PRK) ini, tidak ada banyak nama yang disebut-sebut untuk mewakili Pas. Apakah ini tanda Pas tidak mempunyai calon yang benar-benar layak?

Namun nama Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaafar menjadi bakal calon yang paling popular dalam kalangan ahli parti itu di samping Penyelia DUN Pengkalan Kubor, Wan Rosdi Wan Ibrahim. Malah dikatakan wujud usaha-usaha untuk memaksa Kamarudin yang tidak berminat bergelumang dengan kempen agresif PRK untuk bertanding bagi mewakili Pas.

DUN Pengkalan Kubor adalah salah satu daripada empat DUN yang terletak dalam Parlimen Tumpat. Pas menang besar di kesemua tiga DUN kecuali PKR tewas di Pengkalan Kubor. Mudah cerita Tumpat adalah kubu kuat Pas. Jadi potensi untuk menang agak besar.

Biarpun sekutunya daripada PKR tewas untuk kerusi DUN Pengkalan Kubor namun Kamarudin menang di kawasan tersebut dengan majoriti kira-kira 400 undi.

Soalnya siapakah Kamarudin untuk diangkat menjadi calon pada PRK kali ini kerana landskap dalaman Pas telah berubah. Pertembungan antara ulama dan profesional yang amat condong kepada Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berlangsung dengan hebat ekoran krisis Menteri Besar Selangor yang dibawa daripada grand plan Langkah Kajang.

Sumber dalaman Pas memberitahu, biarpun bekas Setiausaha Agung Pas yang lebih dikenali dengan Datuk KJ itu mempunyai peluang untuk menang tetapi latar belakangnya yang terlalu kuat dipengaruhi oleh Anwar meletakkan Pas dalam bahaya.

“Lihat siapa Kamarudin, beliau ialah tulang belakang Institut Kajian Dasar (IKD) yang ‘dimiliki’ oleh Anwar serta peranannya dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sebelum ini.

“Datuk KJ juga menjadi tulang belakang untuk ‘bertahaluf’ dengan PKR dan DAP yang kini telah retak serta menyebabkan imej Presiden dan ulama dalam Pas terjejas dengan teruk.

“Keadaan di Selangor telah memberikan kesan yang mendalam kepada Pas. Dengan memberi peluang kepada Datuk KJ ia bermakna memberi peluang kepada Anwar untuk terus menguasai Pas,” katanya.

Kata sumber itu, daripada fakta ini jelas menunjukkan bahawa beliau mempunyai nada yang sama dengan bekas Exco Kanan Kerajaan Pas Kelantan, Datuk Husam Musa yang juga Naib Presiden Pas.

Katanya, Husam ialah ancaman kepada Kerajaan Pas Kelantan yang dipimpin oleh ulama, Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah.

“Husam secara terbuka ‘membelasah’ kerajaan pimpinan Ahmad dalam sidang DUN sebelum ini malah tanpa segan-silu membuka pekung kerajaan negeri yang pernah disertainya dahulu di mana beliau sendiri yang banyak memberikan idea yang membawa kesan buruk kepada Pas seperti Projek Kambing Jamnapari, Koridor Depu dan lebuh raya rakyat.

“Husam juga dengan lantang mengkritik Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim biarpun Abdul Hadi mempertahankan wakil rakyat Bebas itu apabila dikritik dan dipecat oleh PKR.

“Apakah kita ahli Pas sanggup untuk melihat Husam kedua dalam DUN yang mempertikaikan kepimpinan ulama yang selama ini dijulang tinggi oleh parti,” soalnya.

Sementara itu, bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kelantan, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad mendakwa tindakan PKR memberi laluan kepada Pas di N01 merupakan strategi yang diatur oleh golongan Anwarinas dalam Pas.

Katanya, ia bagi memastikan Kamarudin menang dalam PRK tersebut demi meneruskan agenda untuk menyingkirkan Ahmad sebagai Menteri Besar.

“Ini merupakan perancangan persediaan Anwar menghancurkan golongan ulama Pas yang sudah jauh berbeza dengan kehendak dan kemahuan peribadinya.

“Husam berdepan laluan sukar untuk jawatan Menteri Besar Kelantan kerana sejarahnya dengan istana yang tidak baik dan mustahil Sultan Kelantan merestui Husam.

“Perancangan Anwar menjadi buntu sebelum ini untuk menguasai kerajaan negeri ini dan Pas Kelantan tetapi perancangan ini bernafas semula bila ada PRK di negeri ini,” kata Wan Khairul dalam blognya, http://bicaramindawank.blogspot.com/2014/09/anwarhusammb-kelantan-bakal.html.

Apa yang pasti imej Kamarudin bersama golongan profesional yang mendokong tahaluf siyasi bersama PKR dan DAP tidak dapat dikikis sama sekali.

Beliau tetap dilihat sebagai orang Anwar yang ditanam dalam Pas. Jangan jadikan N01 sebagai pentas percaturan politik seperti di Selangor sehingga perjalanan kerajaan menjadi kacau-bilau.

N01 adalah hak rakyat untuk memilih seorang pemimpin yang dapat memberi tumpuan untuk membangunkan kawasan tersebut dari semua aspek. Pastinya pengundi Pengkalan Kubor mahukan anak tempatan yang mempunyai sepenuh masa untuk menabur bakti di situ seperti Allahyarham Datuk Noor Zahidi Omar dan bukannya tokoh yang separuh jiwanya berada di Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment