Thursday, 9 October 2014

#BAJET2015 : Dasar Baharu Dijangka Diumumkan Pastikan Pertumbuhan Mampan



Pakar ekonomi menjangka beberapa dasar baharu akan diumumkan dalam Bajet 2015 yang akan dibentangkan di Parlimen esok, bagi memastikan pertumbuhan mampan dalam jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Langkah-langkah berkenaan mungkin menyakitkan dalam jangka pendek tetapi akhirnya akan menghasilkan faedah jangka panjang, supaya semua lapisan masyarakat boleh terus merasai manfaat jika dilaksanakan dengan berkesan, kata pakar berkenaan.

"Kedudukan fiskal negara terdedah kepada risiko turun naik harga minyak mentah dan cabaran hanya akan menjadi lebih mencabar," kata ahli ekonomi AllianceDBS Research Manokaran Mottain kepada Bernama.

"Perlu diingat bahawa potensi ancaman bagi negara ini ialah menjadi pengimport minyak bersih lebih awal," katanya.

Kerajaan menyasar untuk mengurangkan lagi defisit fiskal kepada 3.5 peratus tahun ini, setelah mengurangkannya kepada 3.9 peratus pada 2013 daripada 6.7 peratus pada 2009 dengan merasionalisasikan subsidi minyak.

Rasionalisasi subsidi bahan api akan diteruskan dengan beberapa langkah baharu yang mungkin akan diumumkan sebaik sahaja kerajaan memuktamadkan mekanisme.

Pengenalan sistem subsidi bersasar akan memastikan subsidi memberi faedah kepada kumpulan berpendapatan rendah dan sederhana berbanding sistem semasa yang dinikmati semua.

"Penggunaan sistem pengesahan selamat seperti MyKad atau kad petrol perlu dipertimbangkan. Keselamatan untuk mengelakkan penyalahgunaan perbezaan harga menjadi perkara utama," kata Manokaran.

Sementara itu, cukai jualan dan perkhidmatan semasa juga akan digantikan dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) berkuat kuasa 1 April tahun depan yang terbukti sebagai sistem cukai yang lebih baik.

Pakar ekonomi bersetuju bahawa rasionalisasi subsidi bahan api dan CBP akan menyokong kerajaan untuk menjadi lebih kukuh dari segi fiskal dan membantu pelaksanaan lebih banyak program dan projek untuk rakyat.

Ekonomi negara dijangka kekal pada pertumbuhan yang stabil selepas mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 6.3 peratus pada separuh pertama tahun ini, disokong oleh eksport yang teguh dan aktiviti ekonomi dalam negeri.

Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz baru-baru ini berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tahun ini boleh melepasi unjuran 5.0 peratus hingga 5.5 peratus berikutan prestasi baik pada separuh tahun pertama tahun ini.

"Bagi tempoh separuh pertama tahun ini, kita telahpun mencatatkan 6.3 peratus, jadi ia sudah pastinya akan mengatasi unjuran asal 5.0 hingga 5.5 peratus.

"Itulah sebabnya kita akan mengekalkannya pada unjuran itu buat masa ini," kata Gabenor BNM Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz kepada pemberita selepas melancarkan Lembaga Profesional Perkhidmatan Kewangan (FSPB), di sini bulan lepas.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata ekonomi Malaysia lebih pelbagai dan sumbangan sektor pembuatan menyederhana kepada 24.5 peratus kepada KDNK manakala sektor perkhidmatan kini menyumbang 55.2 peratus KDNK.

No comments:

Post a Comment