Tuesday, 25 November 2014

#KekalAktaHasutan Tun Abdul Hamid Jadi ‘Pemanas’ Isu Melayu, Akta Hasutan di #PAU2014 @NajibRazak @mymassa @TSMusaHassan @MuhyiddinYassin


Belumpun Perhimpunan Agung UMNO 2014 bermula, isu orang Melayu dan akta hasutan sudah menjadi hangat di luar perhimpunan, apabila mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, menyifatkan penduduk asal negara ini akan menjadi seperti ‘Red Indian’ jika UMNO dan PAS tidak dapat bekerjasama.

Tun Abdul Hamid, memberi amaran jika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Putrajaya, kedudukan orang Melayu sudah tidak mempunyai kuasa lagi sebaliknya DAP dan PKR, akan mendominasi pemerintahan Malaysia.

Walaupun PAS dan PKR juga mempunyai wakil Melayu tetapi mereka dilihat tidak akan berjaya untuk mengawal DAP daripada berkuasa, sebagai UMNO mengawal cita-cita MCA dan Gerakan dalam Barisan Nasional (BN).

“Percayalah orang Melayu akan menjadi Red Indian ditanah air sendiri dan daripada kaca mata saya, sekarang ancaman terhadap orang Melayu tidak pernah seserius ini sepanjang sejarah kaum di Malaysia.

“Sekarang kita sedang berpecah dan digunakan. PAS dan UMNO mesti berfikir untuk berkolaborasi, bersatu atau bekerjasama sekurang-kurangnya di peringkat persekutuan demi mempertahankan kerajaan daripada jatuh kepada DAP dan PKR,” kata Tun Abdul Hamid pada Konvensyen Perpaduan Negara di Pusat Islam, Kuala Lumpur Isnin. Konvensyen itu dianjurkan gabungan 58 badan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang membahaskan satu draf Memorandum Perpaduan Negara.

Tun Abdul Hamid, juga bersetuju supaya Akta Hasutan 1948 dikekalkan, tetapi pindaan perlu dibuat supaya kerajaan tidak dilindungi akta zaman penjajah itu.

Katanya, klausa dalam Akta Hasutan yang menjadikan satu kesalahan sekiranya rakyat Malaysia “mencetuskan kebencian atau penghinaan atau membangkitkan ketidakpuashatian” terhadap kerajaan tidak demokratik.

“Kalau kerajaan hendak membuat pindaan yang mungkin boleh mendapat sokongan, ia perlu mempertimbangkan kesalahan menghasut terhadap kerajaan itu. Buat masa ini, melakukan hasutan terhadap kerajaan pun salah. Tetapi, ini tidak selaras dengan demokrasi,” katanya

Klausa itu akan membuatkan berkempen semasa pilihan raya pun boleh menjadi satu kesalahan, sambil menambah, sebab itulah hingga kini tiada siapa yang didakwa mengikut akta itu bagi perbuatan tersebut.

“Kenapa kita perlu kekalkannya? Ia membuatkan kerajaan kelihatan bersikap autokratik. Kita tak menggunakannya pun, lebih baiklah buang saja. Malah, (dengan membuang klausa itu) ia akan memberi imej yang baik kepada kerajaan,” kata Tun Abdul Hamid.

Tetapi beliau memberi amaran terhadap cubaan memansuhkan keseluruhan akta itu, kerana katanya ia akan membuka jalan kepada rakyat Malaysia menghina dan mempertikai kedudukan orang Melayu, Raja-raja Melayu, Islam dan bahasa Melayu.

Tun Abdul Hamid mencadangkan akta itu dipinda bagi melindungi Orang Asli, Islam sebagai agama persekutuan dan tanah rizab Melayu. Beliau mencadangkan kerajaan melihat kepada negara jiran Singapura bagi mendapatkan inspirasi, di tengah-tengah kritikan dunia terhadap akta zaman lapuk itu.

“Singapura masih ada akta hasutannya sendiri. Singapura tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melakukan hasutan, tetapi tiada siapa mengkritik mereka,” katanya.

Sebelum ini banyak NGO Melayu dan Islam menggesa kerajaan supaya mengekalkan akta hasutan bagi memastiksn keharmonian kaum terus berkembang dalam negara.

Pertubuhan seperti Perkasa, Isma, Muafakat dan banyak lagi akan tetap bersama kerajaan dalam isu orang Melayu, agama Islam, raja-raja Melayu dan akta hasutan, kerana ia selaras dengan kehendak Perlembagaan yang telah dipersetujui bersama semasa mencapai kemerdekaan.

NGO berkenaan bertegas supaya kerajaan tidak tunduk terhadap desakan sesetengah pihak yang mahukan akta berkenaan dihapuskan, kerana mereka (pihak berkenaan) mempunyai agenda politik tertentu untuk menguasai pemerintahan negara ini.

Isma, dalam kenyataan sebelum ini menyebut bahawa golongan yang tidak sukakan kepada akta hasutan hanya segelintir, tetapi mereka berjaya mengawal media sosial seolah-olah majority rakyat mahukan perubahan berkenaan.


Isma juga berkata, kesilapan kerajaan menghapuskan ISA, ternyata membawa banyak masalah terutama kepada ‘gengster politik’ yang mengambil kesempatan dengan membuat kekecuhan walaupun menyedari ia bertentangan undang-undang.

No comments:

Post a Comment