Wednesday, 26 November 2014

#PAU2014 Ucapan TPM: #UMNO Mahukan Khidmat Golongan Muda @MuhyiddinYassin @mymassa


Admin rasa ramai yang terkesima dengan ucapan dari YAB TPM kita semalam yang sangat menusuk kalbu. Sebelum ini kita jarang melihat Tan Sri Muhyiddin Yassin begitu lantang bersuara demi kelangsungan bangsa dan negara. Rasanya semalam bukan hanya delegasi UMNO sahaja yang terasa, malah pembangang yang menonton turut kena tempiasnya. Syukur apabila kita tahu UMNO kini mahu menyasarkan orang-orang muda yang dilihat kian hanyut dengan agenda pembangkang. Pembangkang menjanjikan bulan dan bintang namun sehingga kini masih tidak mampu merealisasikan janji-janji biarpun memegang tampuk pemerintahan di 2 negeri yang maju dan pesat membangun.

Di samping itu jika anda perasan, pemikiran dan mentaliti anak-anak muda kita juga semakin menyedihkan apabila mereka kurang berfikir dan menyalah guna kebebasan bersuara di sosial media untuk maki, kutuk dan troll sesama sendiri. Anasir yang dibawa pembangkang ini harus diubah kerana bayangkan nasib negara ini jika golongan yang suka mengutuk dan mencaci orang ini naik sebagai pemerintah? 

Admin minta sangat-sangat untuk UMNO yang ditransformasi ini untuk mengembleng tenaga orang muda ke jalan yang lebih afdhal kerana mereka ini hidup di zaman semuanya senang dan kehidupan yang dipenuhi kehendak. Mereka tidak nampak kezaliman penjajah dan kesusahan ketika negara berperang seperti nenek moyang kita dahulu. Andai mereka tahu akan keperitan hidup dan usaha UMNO dan parti komponen untuk memerdekakan negara, sudah tentu mereka tidak akan terpengaruh dengan budaya meroyan pembangkang yang semua tidak betul.

Kepada grassroots UMNO pula, anda juga perlu berubah, UMNO tidak boleh manja atau tunggu untuk di-spoonfeed sahaja. Hati-hati ya..TPM kita sudah bagi amaran pada orang-orang UMNO: Do or be dead!! 

Di sini admin kumpulkan intipati ucapan beliau yang memang terbaik dari ladang:

Untuk menjadikan UMNO sebagai parti harapan orang muda, parti idaman, parti masa depan, TPM mencadangkan 7 langkah pembaharuan yang perlu kita laksanakan segera: 

1. UMNO perlu melahirkan pemimpin muda yang berwibawa dan menjadi peneraju pemikiran (opinion leader)di dalam masyarakat. Garap idealisme orang muda. Galakkan budaya berfikir dan bersuara dalam UMNO. Pemimpin muda yang ada idealisme, ada wibawa dan berani bersuara perlu diketengahkan untuk menjuarai isu-isu rakyat, menjadi jurucakap parti, bukan diketepikan oleh parti;

2. UMNO perlu melakukan pencarian bakat. Kita perlu menyediakan platform untuk orang muda daripada golongan profesional, intelektual, agamawan, aktivis sosial dan lain-lain yang diterima oleh masyarakat untuk bergerak aktif dalam UMNO. Paltform ini perlu diwujudkan di peringkat pusat, negeri dan bahagian.Contohnya, mereka yang berbakat boleh dilantik ke unit-unit tertentu di dalam parti dan diberi peranan untuk menyumbang kepada parti. Kita juga perlu ketengahkan mereka yang berbakat dan berkaliber untuk menjadi calon dalam pilihanraya. Mereka ini tidak semestinya berjawatan tinggi dalam parti. Pengalaman kita dalam pilihanraya kecil Pengkalan Kubor dan Kuala Besut menunjukkan calon yang tidak berjawatan tinggi di peringkat bahagian boleh menang kerana mereka diterima oleh rakyat;

3. wujudkan modul pengkaderan dan pentarbiyahan yang tersusun untuk melahirkan lebih ramai pemimpin muda UMNO yang bijak, petah dan tangkas berhujjah serta teguh daya rohaninya. Kita perlu membentuk UMNO dengan kalangan ahlinya yang punya kekentalan semangat serta menghayati prinsipdan matlamat perjuangan parti yang sebenar. Beri mereka kekuatan untuk mengolah perjuangan UMNO yang lebih segar dalam konteks cabaran semasa. Jadikan mereka kumpulan pemikir muda di dalam UMNO.

4. semarakkan semangat kesukarelawanan melalui program-program bersama rakyat. Pecahkan tembok pemisah antara parti dan rakyat menerusi kerja-kerja sukarela. Dekati rakyat, dengar rintihan mereka, fahami masalah mereka. Tanya diri kita, berapa ramai daripada kita yang sentiasa mendekati rakyat dan disayangi oleh rakyat. Manfaatkan sepenuhnya teknologi maklumat, khususnya media sosial, untuk sentiasa mendekati dan memenangi hati golongan muda; 

5. wujudkan institusi naziran di dalam UMNO untuk memantau setiap Bahagian dan Cawangan. Satu Jabatan Naziran perlu diwujudkan di dalam UMNO untuk pastikan semua pemimpin di peringkat Majlis Tertinggi, sayap, negeri, bahagian dan akar umbi buat kerja. Bahagian ini bertanggungjawab untuk melaporkan kepada Jawatankuasa Pengurusan UMNO dan Majlis Tertinggi mengenai keberkesanan program-program yang dilaksanakan oleh parti; 

6. gerakkan revolusi mental yang baharu dalam UMNO dan bangsa Melayu seperti yang pernah digarap oleh Allahyarham Datuk Senu Abdul Rahman. Mungkin kita boleh namakan Revolusi Mental 2.0. Cerna idea, pemikiran dan kaedah baharu untuk menangani cabaran perubahan zaman dalam bidang ekonomi, politik, agama, hubungan kaum, teknologi dan lain-lain. Sepertimana yang diungkapkan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak dalam pendahuluan buku Revolusi Mental, antara sebab kemunduran bangsa Melayu ialah pemikiran yang terkebelakang yang disebabkan oleh kekurangan ilmu dan cara hidup yang lama. Justeru, UMNO perlu berani menerajui perubahan pemikiran, budaya dan sikap bangsa Melayu untuk menempa kemajuan. Pada masa yang sama, hadapi dengan bijaksana kemunculan pelbagai tantangan yang cuba menggoyahkan prinsip perjuangan UMNO untuk bangsa Melayu sebagai bangsa teras di Malaysia. Yang penting, jadikan prinsip perjuangan UMNO relevan sepanjang masa;

7. Bangkitkan gerakan kesedaran nilai undi dalam kalangan masyarakat Melayu. Gerakan pendaftaran pengundi baharu mesti dibuat dengan lebih bersungguh-sungguh. Jangan buat sambil lewa. Jangan buat sekadar melepas batuk di tangga kata orang. Jangan sampai kegagalan kita menambah bilangan pengundi Melayu menyebabkan kaum Melayu yang merupakan kaum majoriti menjadi golongan minoriti dalam pilihanraya. Sasaran gerakan ini wajib dimulai dengan memastikan semua ahli UMNO yang layak mengundi didaftarkan sebagai pengundi.


No comments:

Post a Comment