Friday, 26 December 2014

JANGAN BUAT PANIK! JANGAN SHARE KALAU TAK TAHU!

Gambar Hiasan
Sejak bencana alam banjir melanda negara terutama sekali di kawasan Pantai Timur Malaysia, berlambak khabar angin yang disebarkan. Yang lebih menggerunkan apabila ada yang sebarkan rakaman audio kejadian banjir di Kuala Krai dan juga audio yang menggunakan nama Jabatan Bomba untuk menguatkan lagi kejadian banjir tersebut benar-benar teruk dan seolah-olah tidak mendapat bantuan dari pihak yang bertanggungjawab.

Sebaran audio-audio dan juga khabar angin – khabar angin sebegini mengingatkan saya ketika peristiwa kehilangan pesawat MH370. Audio yang mengatakan banyak mayat bergelimpangan dan terdampar di Pulau Perak, kemudian membuat dakwaan palsu bahawa agensi terbabit sedang dalam usaha untuk mengumpul mayat-mayat tersebut.

Walhal berita yang disebarkan itu palsu dan tidak ada sebarang bukti yang menunjukkan mayat bergelimpangan di Pulau Perak dan tidak ada sebarang operasi mencari dan menyelamat seperti yang diuar-uarkan di kawasan tersebut. Apakah tujuan sebenar penyebaran audio sebegini? Walhal akan lebih menimbulkan kekeliruan dan situasi panik kepada orang awam.

Begitu juga dengan penyebaran audio-audio banjir sejak kebelakangan ini. Pattern rakaman audio itu serupa seperti yang disebarkan ketika kehilangan pesawat MH370. Audio-audio yang disebar menggunakan suara wanita untuk menyampaikan mesej tersebut. Mengapa? Kerana emosi seorang wanita itu mampu untuk menampakkan keadaan tersebut benar-benar teruk dan menakutkan. Bayangkan bagaimana kondisi seseorang yang berada dalam keadaan panik dan genting? Adakah dia mampu untuk bertindak dengan waras dan merancang perlakuannya dalam masa yang singkat? Sudah pasti tindakan refleks seorang mangsa akan lebih fokus kepada apa yang berlaku kepada dirinya berbanding memikirkan untuk mengambil telefon bimbit dan merekod suaranya.

Dalam zaman teknologi moden sebegini, rakaman visual lebih kuat untuk menunjukkan situasi sebenar berkaitan kejadian-kejadian tertentu. Sebagai contoh, kejadian kemalangan jalan raya. Adakah anda yang mempunyai aplikasi Whatsapp akan menerima rakaman audio berkaitan kemalangan ngeri yang menjadi viral di laman-laman sosial? Sudah tentu tidak! PASTINYA ANDA AKAN MENDAPAT PERKONGSIAN RAKAMAN VISUAL VIDEO ATAU GAMBAR PEGUN BERKAITAN KEJADIAN TESEBUT. Sesuatu yang luar biasa berlaku sudah tentu kita tidak mahu lepaskan peluang menjadi first hand informer kepada dunia luar tentang kejadian tersebut. Oleh itu, mengapa perlu merakam audio? Sedangkan rakaman video boleh dibuat untuk memberikan evidence yang lebih kukuh.

Rakaman audio dan khabar angin yang tersebar berkaitan banjir sangat membawa dukacita kepada rakyat Malaysia, terutamanya keluarga-keluarga mangsa yang terbabit banjir. Tindakan tidak wajar sebegini seharusnya dihentikan dan ini bukanlah masanya untuk mempolitikkan kejadian banjir yang berlaku ini. Kita bercakap soal keselamatan nyawa orang dan bukan tentang kemenangan dalam persepsi politik terhadap rakyat. Di saat ini, bersatu dan berdoa agar sahabat-sahabat kita yang menjadi mangsa banjir akan dipermudahkan urusan, dilindungi oleh Yang Esa dari sebarang kecekalan dan kemalangan, dan mohon kepada Yang Esa agar dikuatkan semangat para petugas-petugas banjir dalam misi menyelamat mereka yang terjejas akibat banjir.

#PrayForPantaiTimur 

No comments:

Post a Comment