Thursday, 11 December 2014

Mengapa Harga Minyak Dunia Jatuh?


            Harga minyak telah jatuh lebih daripada 40% sejak bulan Jun. Pada asalnya minyak berharga $115 setong. Ianya kini menjunam di bawah $70. Keadaan ini berlaku selepas hampir lima tahun harga minyak berada pada keadaan stabil. Dalam mesyuarat di Vienna yang berlangsung pada 27 November yang lalu Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum yang mengawal hampir 40% daripada pasaran dunia gagal mencapai persetujuan mengenai sekatan pengeluaran sehingga menyebabkan harga minyak jatuh merudum. Negara-negara pengeksport minyak seperti Rusia, Nigeria, Iran dan Venezuela mengalami kesan paling teruk dalam situasi ini. Persoalannya di sini adalah ‘Mengapa harga minyak jatuh?’

            Harga minyak ditentukan oleh dua aspek; bekalan dan permintaan sebenar serta ramalan atau jangkaan yang dibuat berdasarkan situasi semasa. Permintaan untuk tenaga berkait rapat dengan aktiviti ekonomi. Ia juga meningkat pada musim sejuk di Hemisfera Utara dan pada musim panas di negara-negara yang menggunakan penyaman udara. Bekalan minyak boleh terjejas disebabkan oleh gangguan cuaca (yang menghalang kapal tangki muatan dari berlabuh ) dan juga gangguan geopolitik. Seandainya pengeluar menjangkakan harga minyak akan kekal tinggi, mereka akan melabur dengan lebih banyak dalam bidang ini dimana selepas beberapa ketika akan meningkatkan jumlah bekalan minyak. Begitu juga, harga semasa minyak yang rendah akan membawa kepada pengurangan pelaburan yang seterusnya mungkin akan mengurangkan bekalan minyak. Keputusan OPEC turut mempengaruhi jangkaan ini; jika OPEC mengambil keputusan untuk mengurangkan bekalan secara mendadak, ia boleh menyebabkan harga minyak melambung tinggi.  Pada ketika ini Arab Saudi menghasilkan hampir 10 juta tong minyak sehari; satu pertiga daripada jumlah yang ditetapkan OPEC.

            Empat perkara memberi kesan kepada keadaan masa kini. Pertama, permintaan yang rendah kerana aktiviti ekonomi yang lemah dan peralihan banyak pihak dari minyak kepada bahan api lain sebagai sumber tenaga. Kedua, pergolakan di Iraq dan Libya yang merupakan dua pengeluar minyak terbesar yang mampu membuat pengeluaran hampir 4m tong sehari. Namun, masalah ini tidak menjejaskan pengeluaran mereka. Ini menunjukkan bahawa pasaran adalah lebih optimis apabila ia melibatkan risiko geopolitik. Ketiga, Amerika telah menjadi pengeluar minyak terbesar di dunia. Walaupun ia tidak mengeksport minyak mentah, ia kini telah mengurangkan jumlah import yang mewujudkan banyak bekalan berlebihan di negara-negara pengeluar. Akhir sekali, Arab Saudi dan sekutu Teluk mereka telah memutuskan untuk tidak mengorbankan keuntungan pasaran mereka sendiri untuk memulihkan harga iaitu dengan mengehadkan pengeluaran minyak. Langkah ini dapat menangani masalah pengeluaran dengan cepat. Tetapi oleh kerana negara-negara yang mereka tidak suka seperti Iran dan Rusia yang akan mendapat manfaat utama daripada perlaksanaan langkah ini, mereka memilih untuk tidak melaksanakannya. Arab Saudi tidak mengalami kesan yang teruk oleh sebab penurunan harga minyak dunia kerana negara itu mempunyai $900 bilion dalam rizab dan kos pengeluaran minyak mereka sangat murah; kira-kira hanya $5-6 setong.


            Kesan utama dapat dirasakan oleh negara yang paling berisiko dan paling lemah dalam industri minyak. Ini termasuklah syarikat-syarikat Amerika yang telah membuat pinjaman sepenuhnya untuk menceburi bidang ini kerana mereka menjangkakan harga minyak akan kekal tinggi. Ini juga termasuk syarikat minyak Barat yang memiliki projek kos tinggi kerana melibatkan penggerudian minyak di laut dalam atau di Artik, atau berurusan di kawasan-kawasan yang kosnya semakin mahal seperti di Laut Utara. Tetapi kesakitan yang paling besar akan dialami di negara-negara bergantung kepada harga minyak yang tinggi untuk membayar pengembaraan ke angkasa lepas dan program-program sosial yang berkos tinggi. Ini termasuklah Rusia (yang sudah mengalami sekatan berikutan campur tangan Barat di Ukraine) dan Iran (yang membayar untuk memastikan rejim Assad kekal selamat di Syria). Para optimis merasakan sekatan ekonomi boleh membuat negara-negara ini tunduk dengan tekanan antarabangsa. Manakala pihak pesimis bimbang sekiranya keputusan ini menyebabkan mereka akan bangkit dan serang balas kerana kehidupan yang terlalu mendesak.

No comments:

Post a Comment