Thursday, 22 January 2015

Bar Council Tiada Integriti,Dikecam Kerana Menyokong @EricPaulsen101 @lawyers4liberty - Azril Mohd Amin, Faidhur Rahman Abdul Hadi



Presiden Bar Council Malaysia, Christopher Leong pada 15 Januari 2015 dalam hebahan media telah mempertahankan tindak tanduk Eric Paulsen dari Lawyers For Liberty (LFL) yang telah memfitnah JAKIM dengan menyatakan badan Islam tersebut menggalakkan budaya ekstremisme dalam khutbah Jumaat. Christopher turut membantah penggunaan Akta Hasutan 1948 dalam masa yang sama. Kami dari Centre for Human Rights Research and Advocacy (CENTHRA) dan Concerned Lawyers for Justice (CLJ) mengutuk sekeras-kerasnya pendirian yang diberitakan datang dari seluruh ahli BAR Council.

Secara asasnya, penguatkuasa awam dan mereka yang ditugaskan untuk melindungi ketenteraman awam dan menegakkan undang-undang tidaklah kebal dan maksum dari menerima kritikan dan cadangan-cadangan untuk penambahbaikan. Namun begitu, kami beranggapan Bar Council tidak seharusnya mengelirukan rakyat dengan berulangkali menekankan bahawa tweet Eric Paulsen tidak menindas Islam tetapi hanya menindas JAKIM sebagai sebuah agensi kerajaan. Seperti yang dinyatakan dalam kenyataan akhbar kami pada Januari 12 2015, tweet Eric berkenaan Islam dan JAKIM bukanlah yang pertama malah sebelum ini, Eric seringkali memperlekeh dan menindas kedudukan Islam sebagai agama rasmi Malaysia seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Eric turut dikenalpasti sebagai individu yang seringkali membuat provokasi agama dan bangsa terutamanya yang melibatkan Islam dan orang Melayu. Sehingga ke hari ini, boleh dikatakan bahawa tiada bukti langsung yang menunjukkan JAKIM mempromosi ekstremisme setiap hari Jumaat seperti yang difitnah eric Paulsen.

Kami juga percaya bahawa Bar Council sebenarnya sudah sedia maklum berkenaan tweet-tweet Eric yang memperlekeh agama Islam sebelum ini, dan kegagalan beliau untuk menidakkan tweet-tweet ini amat menjengkelkan. Ini sudah jelas memperlihatkan sikap double standard dan pilih bulu Bar Council walaupun sudah tahu akan kesalahan yang dilakukan oleh Eric. Bagaimanakah suatu badan yang sepatutnya mempertahankan keadilan dan kebenaran boleh bersekongkol dengan individu yang gemar membuat provokasi murahan dan fitnah yang terang-terangan?

Berkenaan Akta Hasutan 1948 yang akan ditambahbaik dan dikukuhkan, Bar Council sekali lagi bertindak di luar norma keadilan dan kebenaran kerana gigih mahu menghapuskan akta ini dengan meluluskan resolusi pada September 2014, selain menganjurkan demonstrasi yang menyaksikan kehadiran hanya beberapa ratus ahli sahaja jika mahu dibandingkan dengan jumlah sebenar ahli Bar Council seluruh Malaysia. Dewasa ini, rakyat telah muak dengan kejadian provokasi terhadap agama dan bangsa yang semakin kerap terjadi, maka di situ kita dapat merumuskan betapa pentingnya Akta Hasutan ini untuk dikekalkan dan ditambahbaik.

Dengan ini, kami tekankan sekali lagi untuk Bar Council menghentikan sokongan terhadap Eric Paulsen serta merta dan berharap agar menghukum Eric sewajarnya di bawah Akta Profesion Undang-undang 1976 dan Peraturan Profesion Undang-Undang (Amalan & Etika) 1978 kerana menghasut melalui tweet-tweet beliau walaupun memegang kapasiti sebagai seorang peguam di Malaysia. Bar Council juga diminta untuk menarikbalik resolusi pada 19 September 2014 yang mahu menghapuskan Akta Hasutan 1948, dan segala aktiviti serta program yang dijalankan sepanjang Oktober 2014 yang mahukan akta tersebut dihapuskan. Kami mahukan Bar Council sebagai badan yang tidak berkepentingan politik dan tidak partisan serta badan yang sepatutnya menegakkan kebenaran untuk menyokong semua akta dan undang-undang yang digubal bagi melindungi dan mengekalkan Perlembagaan Persekutuan dan hubungan agama serta kaum di Malaysia.

Azril Mohd Amin merupakan seorang peguam dan Pengarah Eksekutif di Centre For Human Rights Research & Advocacy (CENTHRA) manakala Faidhur Rahman Abdul Hadi adalah pengasas Concerned Lawyers For Justice (CLJ)









No comments:

Post a Comment