Wednesday, 4 February 2015

Pilihanraya #PBT:Kenapa hanya #PAS perlu patuh konsep konsensus #PR? @nikabduh @cmlimguaneng @tonypua



PAS mencabar DAP untuk membentangkan rang undang-undang persendirian pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Parlimen daripada terus mengkritik pihak yang mempertikaikan kesan negatif pilihan raya itu di media.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sama seperti isu Enakmen Jenayah Syariah Kelantan (hudud) yang timbul baru-baru ini, kelulusan usul di dalam dewan negeri sahaja untuk pilihanraya kerajaan tempatan tidak cukup, kerana ada perkara yang terhalang di peringkat Perlembagaan Persekutuan.

Kata Tuan Ibrahim, hudud dan pilihanraya kerajaan tempatan bukan dasar yang dipersetujui bersama dan DAP telah bertindak menggunakan cara mahkamah untuk mendapat kelulusan bagi melaksanakan pilihan kerajaan tempatan.

“Meskipun ia tidak berjaya, tapi ia jelas menunjukkan konsensus PR tidak diperlukan untuk DAP meneruskan janji manifestonya untuk Pulau Pinang.

“Apakah hanya PAS di Kelantan yang perlu didesak untuk mematuhi konsep konsensus PR, manakala komponen parti lain tidak memerlukannya, untuk mengotakan janji pilihanrayanya untuk melaksanakan hudud di Kelantan?

“Akhirnya, membawa pilihanraya tempatan ke parlimen ini adalah jauh lebih baik dari bertengkar di media, dan mencemuh mereka yang melahirkan kebimbangan terhadap kesan negatif pilihanraya kerajaan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada 14 Ogos 2014, permohonan kerajaan Pulau Pinang untuk diadakan pilihanraya kerajaan tempatan telah ditolak oleh Mahkamah Persekutuan atas alasan ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan dasar negara.

Menurut Tuan Ibrahim, sekiranya DAP yakin pilihanraya kerajaan tempatan merupakan usaha menyuburkan sistem demokrasi, mereka perlu berusaha untuk membawa usul itu ke Parlimen melalui rang undang-undang persendirian kerana ia sebahagian dari amalan demokrasi.

“PAS sedia berhadapan dengan risiko ditolak dan ditentang oleh rakan Pakatan Rakyat jika kerajaan Kelantan mengemukakan private bill untuk Enakmen Jenayah Syariah di Kelantan.

Sebagaimana PAS, DAP juga harus bersedia menghadapi kemungkinan cadangan pilihanraya kerajaan tempatan ditolak di peringkat parlimen.

“Tetapi, membawa perkara ini ke parlimen adalah lebih baik bagi DAP kerana kebarangkalian akan ada ahli parlimen PAS yang akan menyokong pilihanraya kerajaan tempatan adalah lebih tinggi daripada kebarangkalian adanya ahli parlimen DAP yang akan menyokong hudud,” katanya sinis.

Sumber

No comments:

Post a Comment