Wednesday, 11 February 2015

SAMBUTAN HARI KEKASIH HARAM DISISI ISLAM. @jakimOfficial

Keimanan dan keyakinan terhadap Aqidah Syariat Islam amat perlu untuk membolehkan kita mematuhi Islam secara keseluruhan. Kepatuhan kepada ajaran Islam secara menyeluruh akan membolehkan kita merasakan dan menampilkan keindahan Islam yang sebenar. Namun demikian, disebabkan kurangnya iman dan keyakinan terhadap Islam membuatkan segelintir manusia cenderung melakukan perkara yang menyalahi Aqidah dan Syariat.

Sebagai contoh, menjelang 14 Februari setiap tahun, terdapat di kalangan umat Islam terutama sekali generasi muda yang meraikan Hari Kekasih atau Valentine’s Day. Mereka meraikannya kononnya untuk menyatakan serta membuktikan perasaan cinta dan kasih terhadap pasangan masing-masing.

Ada pasangan yang menzahirkannya dengan pemberian bunga dan hadiah-hadiah lain. Dan tak kurang pula yang meraikannya dengan melempiaskan hawa nafsu atas alasan “demi cintaku padamu, kuserahkan jiwa raga”. Ekoran itu, berlakulah khalwat pasangan Islam yang belum berkahwin yang secara langsung membuktikan bahana sambutan Hari Valentine tersebut.

Padahal, sudah terang lagi bersuluh bahawa Valentine’s Day adalah perayaan orang Barat bukan Islam sekali gus haram disambut oleh orang Islam. Ia mempunyai unsur-unsur yang mempromosi perbuatan maksiat, iaitu sesuatu yang bercanggah dan dilarang keras oleh Islam.

Dengan hal yang demikian, orang Islam yang meraikan Hari Kekasih pada 14 Febuari boleh disifatkan sebagai telah meniru budaya orang Barat yang bukan Islam. Perbuatan meniru budaya negatif orang lain akan merosakkan akidah dan meruntuhkan akhlak. Hal ini diperingatkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud :
“Barang siapa yang menyerupai (meniru tingkah laku) sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka”. (HR Abu Daud).
Menurut Panel Kajian Akidah dan Panel Kajian Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) amalan menyambut dan meraikan Hari Kekasih atau Valentine’s Day adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Manakala Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

Oleh hal yang demikian, dapat dirumuskan dan ditegaskan di sini bahawa perbuatan mempromosi dan meraikan Hari Valentine adalah salah di sisi ajaran Islam. Orang Islam yang terlibat dengannya boleh diambil tindakan yang sewajarnya menurut Enakmen Undang-undang Syariah yang sedia ada.



INTISARI KHUTBAH JUMAAT 14 FEBRUARI 2014

No comments:

Post a Comment