Friday, 27 March 2015

Kemelut #PAS dan #DAP, Azmin Bakal Jadi MB Selangor Paling Singkat?

Mohamed Azmin Ali mungkin menjadi Menteri Besar Selangor paling singkat pentadbirannya jika benar-benar berlaku perpecahan  PAS dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Jika perkara ini menjadi kenyataan maka Kerajaan Negeri Selangor yang dikuasai Pakatan Rakyat (PR) bakal bergoyang ekoran jumlah kerusi yang genting.

Kita akan melihat parti-parti politik yang ada di negeri Selangor kucar-kacir dan bagaimana mereka akan mencari jalan bergabung untuk membentuk kerajaan negeri berkenaan.

MENARIK – Bagaimana Pula Harta MB Selangor?

Ketika ini, dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor DAP dan PAS masing-masing mempunyai 15 kerusi Ahli DUN (ADUN).

Andainya, PKR dan DAP membentuk satu kerjasama, PKR mempunyai 13 ADUN ia akan menghasilkan jumlah sebanyak 28 ADUN yang tiada majoriti untuk mengekalkan kerajaan.


Perlu diingat, PKR juga menerima sokongan dua ADUN PAS yang sedang digantung, iaitu Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib).

Bagaimanapun, putusnya kerjasama antara DAP dan PAS ini tidak mungkin akan berlaku.

Pastinya mereka tahu, kemungkinan besar DAP akan hilang negeri Selangor yang berjiran dengan Kuala Lumpur yang kaya itu akibat pertukaran kerusi berkenaan.

Memetik laporan Agenda Daily, jika benar kerjasama itu berakhir, satu sidang DUN perlu dipanggil untuk melihat siapakah yang mempunyai majoriti melalui undi percaya kepada kerajaan sekarang yang dipimpin oleh Mohamad Azmin Ali.

Berkenaan kerjasama PAS dan DAP, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dipetik berkata di Parlimen semalam bahawa kerjasama politik yang terjalin antara PAS dan DAP sejak 2008 secara dasarnya sudah berakhir biarpun tiada pengumuman rasmi.

Ia berikutan keputusan DAP mengumumkan tidak lagi mahu bekerjasama dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Pendirian pimpinan PAS sudah dapat dilihat. Sekarang ini semua sudah bagi pandangan dan saya menyokong kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali kelmarin.

“Tetapi bagi saya, sekiranya DAP buat keputusan secara kolektif dalam parti memutuskan hubungan dengan Presiden PAS, bermakna dia memutuskan hubungan dengan PAS, itu sahaja, itulah pengakhirannya.

“Takkan Presiden lain, PAS itu lain, saya bagi contoh kalau saya keluarkan kenyataan mahu putuskan hubungan dengan semua Ahli Parlimen DAP kecuali Ahli Parlimen Raub, tidak boleh sebab dia DAP juga,” katanya.

Kita lihat sahaja drama yang dilakonkan oleh mereka dalam PR berkenaan isu negeri Selangor ini.

– PRU14.tv


Sumber : KLIK

No comments:

Post a Comment