Monday, 24 August 2015

#Ringgit #Malaysia Dah Tak Laku? Baca & Hadam Ini, Bukan Share Info Salah Dari #FB Page Macai




Ringgit Tak Laku

Sejak Ringgit jatuh mendadak kebelakangan ini ramai yang menyatakan kerisauan mereka terhadap keadaan ekonomi negara. Minggu lepas saya ada tweet flow chart yang menunjukkan siapa yang akan terkesan dengan kejatuhan Ringgit dan siapa yang tidak akan terkesan: 
Ramai juga yang tidak bersetuju dengan flow chart di atas tetapi apabila diajukan soalan bagaimana tukaran matawang Ringgit jatuh memberi kesan kepada mereka (selain daripada yang dinyatakan di atas) mereka tidak boleh memberi jawapan yang jelas. Saya faham kerisauan ini mungkin akibat daripada imbauan memori krisis kewangan Asia 1997-1998 yang menyaksikan ekonomi Malaysia mengalami kemelesetan yang agak teruk di mana banyak yang dibuang kerja, syarikat-syarikat muflis dan sebagainya. 


Tetapi berapa ramai daripada anda yang tahu punca banyak pekerja diberhentikan, perniagaan bungkus bukan disebabkan oleh Ringgit jatuh? Ia terjadi disebabkan polisi kerajaan dan Bank Negara yang mengamalkan dasar fiskal dan dasar monetari yang ketat. Kerajaan memotong perbelanjaan secara drastik, Bank Negara meningkatkan kadar faedah untuk mempertahankan Ringgit daripada terus jatuh (mereka gagal) yang mana secara tidak langsung menghukum perniagaan yang mempunyai pinjaman dengan bank kerana mereka terpaksa membayar semula pinjaman pada kadar faedah yang tinggi seterusnya terpaksa memberhentikan pekerja. Bukan sahaja perniagaan malah individu yang mempunyai pinjaman perumahan terpaksa menanggung beban kenaikan ansuran pinjaman yang meningkat secara mendadak akibat daripada dasar monetari Bank Negara yang ketat. 


Oleh sebab itu lah saya tidak menyokong apabila ramai yang mahu kerajaan dan Bank Negara campur tangan menangani kejatuhan Ringgit kerana sejarah membuktikan apabila mereka campur tangan dengan mengamalkan dasar fiskal dan polisi yang ketat, ia akan memburukkan lagi keadaan dan memberi kesan kepada ekonomi sebenar. Ringgit akan 'pulih' semula apabila harga minyak mentah naik dan keadaan pasaran yang tidak menentu akibat kadar faedah USA yang bakal dinaikkan menjadi lebih stabil. 


Terbaru ada yang mengatakan Ringgit sudah lagi tidak laku di luar negara akibat daripada kejatuhan matawang Ringgit: 

Nampaknya ramai yang tidak sedar bahawa sejak 1998 iaitu selepas kerajaan Malaysia mengamalkan polisi kawalan modal (capital controls) Ringgit bukan lagi menjadi matawang antarabangsa (internationalized) di mana Ringgit tidak lagi dibenarkan didagang di luar negara (offshore trading). Oleh sebab yang demikian Ringgit tidak lagi laku di peringkat antarabangsa bukan sahaja baru-baru ini tapi sejak 1998 kerana tender matawang Ringgit di luar dianggap tidak sah dan susah untuk ditukarkan di luar Malaysia.


Hanya bank-bank dan syarikat kewangan tertentu yang mempunyai fasiliti perdagangan ataucurrencies swap sahaja yang tiada masalah untuk menukar Ringgit kepada matawang asing di luar negara. Contohnya antara Malaysia dan China iaitu Bank Negara dan People's Bank of China yang mempunyai perjanjian dua hala currency swap antara Ringgit dan Yuan untuk mempromosi perdagangan dan pelaburan antara dua negara.


Bagaimana pula untuk mereka yang tidak dapat menukar Ringgit Malaysia di luar negara? Jika anda sudah biasa ke luar negara, anda sendiri patut tahu anda sepatutnya menukar Ringgit kepada matawang asing di dalam Malaysia sebelum anda berlepas ke luar negara. Ringgit tiada masalah untuk ditukarkan di dalam Malaysia (onshore) selagi stok matawang asing ada. 


Jadi bagaimana pula mereka yang terkesan terutamanya di negara timur tengah. Sepertimana dinyatakan di flow chart di atas jika anda merancang untuk ke luar negara terutamanya ke USA dan juga negara yang 'menggunakan' USD ATAU negara yang menambat matawang mereka kepada USD anda akan terkesan dengan penurunan nilai Ringgit berbanding USD. 

Hampir semua negara timur tengah termasuk Saudi, UAE, Mesir, Kuwait, Qatar, Oman, Bahrain, Jordan dan lain-lain menambat matawang mereka kepada USD. Jadi apabila Ringgit menurun berbanding USD, Ringgit juga akan turun berbanding Saudi Riyal, UAE Dirham, Kuwaiti Dinar, Omani Riyal, Bahraini Dinar, Jordanian Dinnar dan lain-lain. Ini termasuklah mereka yang ingin mengerjakan umrah, ya pakej umrah anda akan jadi lebih mahal kerana anda ke Saudi Arabia yang menambat matawang mereka kepada US Dollar.


Cuba baca semula pelajar di Mesir tersebut tulis: 
"Mmg dari dulu kalau nak tukar duit memang ke USD"
Sebelum Ringgit menyusut lagi memang kena tukar kepada USD kerana rakyat Mesir sendiri jarang sekali menggunakan Egyptian Pound. Mereka menggunakan USD di dalam urusan harian mereka, lagipun Egyptian Pound ditambat kepada USD dan jika anda pernah ke Mesir mungkin anda akan tahu perkara ini. Tidak dinafikan yuran universiti pelajar di Mesir akan naik, akibat penurunan Ringgit, terutamanya mereka yang pergi atas tajaan sendiri atau ibu bapa, mereka pasti akan terkesan bukan sahaja kerana kenaikan yuran malah kenaikan kos sara hidup di sana. 


Hakikatnya akibat daripada penyusutan Ringgit ada yang akan menerima manfaat daripadanya dan ada yang akan terbeban daripadanya dan ada kebanyakan daripada rakyat Malaysia tidak akan terkesan sebenarnya mengapa? Kerana 80% isi rumah di Malaysia berpendapatan (bukan gaji, pendapatan) di bawah RM5,600 sebulan yang mana kebanyakan mereka jarang ke luar negara, menghantar anak-anak ke universiti tempatan dan tidak membeli-belah di luar negara. 


Jika ada yang selalu membeli secara online, selalu bukan jarang-jarang, ataupun kerap ke luar negara maka besar kemungkinan anda tidak tergolong di kalangan kumpulan 80% ke bawah dan anda berada di golongan 20% teratas di Malaysia.



Ramai juga bertanya bagaimana dengan barang yang diimport? Bukankah barangan yang diimport seperti makanan akan naik jika ringgit menyusut berbanding USD? Anda perlu tahu Malaysia tidak mengimport semua barangan dari USA. Kita juga mengimport dari negara lain yang mana matawang negara tersebut juga jatuh. 

Contohnya barangan tenusu Malaysia mengimport sebahagian besar barangan tenusu dari New Zealand yang mana New Zealand Dollar juga telah menyusut berbanding USD dan tidak berubah berbanding Ringgit. Secara am nya harga barangan tenusu di Malaysia tidak patut jatuh walaupun perdagangan antara negara di dalam dunia kebiasaaanya menggunakan USD, pengeksport dari negara berkenaan akan menurunkan harga untuk menyesuaikan dengan keadaan matawang yang menyusut. 


Bagaimana pula dengan harga beras, jagung, gandum dan makanan-makanan yang lain? Jika anda peka dengan keadaan pasaran untuk komoditi tersebut, harga mereka pun jatuh sejak kebelakangan ini. Contohnya harga beras siam yang juga jatuh sejak setahun yang lepas: 



Harga beras dari Thailand juga menurun walaupun Ringgit jatuh berbanding US Dollar dan Thai Baht. Jadi sepatutnya harga beras import tidak berubah, jika ianya naik anda tidak patut menyalahkan Ringgit yang menyusut tetapi salahkan perniagaan yang memonopoli perdagangan beras di Malaysia. Siapa yang memonopoli perdagangan beras di Malaysia? Anda boleh Google sendiri.


Harga-harga makanan lain seperti gandum, jagung, minyak soya semuanya jatuh sejak setahun yang lepas. Jadi harga bahan makanan ini apabila diimport ia sepatutnya tidak naik harga sama seperti beras di atas. Banyak faktor lain menyebabkan harga makanan naik seperti faktor permintaan, faktor bekalan dan juga kemungkinan besar peniaga mengambil keuntungan berlebihan dengan menggunakan alasan Ringgit yang menyusut.


Jika anda membeli barangan tempatan yang tiada input daripada import dan ia dijual pada harga yang tidak masuk akal, anda boleh memboikot sahaja atau melaporkan kepada pihak yang berkuasa. Barangan tempatan tidak sepatutnya naik akibat penyusutan Ringgit. Jadilah pengguna yang bijak dengan mengundi dengan dompet anda. 


Sebab itu jugalah saya mengatakan majoriti rakyat Malaysia tidak terkesan dengan penyusutan Ringgit berbanding US Dollar kerana kebanyakan 'marhaen' hanya akan membeli barangan tempatan melainkan mereka tiada pilihan yang lain. Jika anda terlebih risau tentang kejatuhan matawang Ringgit cuba anda bertenang sejenak dan fikir semula bagaimanakan perkara ini akan mempengaruhi atau memberi kesan terhadap kehidupan anda. 


Jika anda jarang atau tidak membeli-belah barang dari luar negara (USA, UK, Singapura dll), tidak ada perancangan bercuti ke negara yang matawangnya meningkat atau tidak ada anak di negara yang matawangnya meningkat anda berkemungkinan besar tidak akan terkesan dengan fenomena penyusutan Ringgit ini. Jika anda terkesan, kemungkinan besar anda sudah pun tergolong dalam kumpulan 20% teratas di Malaysia.


Saya bukan mempertahan kerajaan (saya anti kerajaan UMNO) apabila membicarakan soal Ringgit jatuh, tetapi saya mempertahankan fakta dan dasar ekonomi (fiskal dan monetari) yang tidak akan menyebabkan pekerja di Malaysia kehilangan kerja. Oleh itu saya tidak mahu kerajaan campur tangan untuk mempertahankan Ringgit kecuali campur tangan untuk meringankan beban rakyat dan perniagaan melalui polisi fiskal yang menyokong pertambahan pendapatan tanpa perlu mengetatkan dasar monetari seperti menaikkan kadar faedah.


Semoga apa yang dikongsikan oleh saya bermanfaat dan saya harap ini kali terakhir saya menulis tentang Ringgit dan penyusutannya. 


p.s: Greece bankrap bukan kerana matawang mereka menyusut, tetapi kerana mereka tiada kedaulatan monetari. 


Sumber Rujukan:



1 comment:

Anonymous said...

Dari pembacaan di atas saya pasti saudara kurang arif tentang dagangan antarabangsa. Hampir kesemua dagangan luar negara didagangkan dalam usd. Contohnya sekiranya susu dibeli dari new zealand pada harga usd10, ianya tidak akan diubah menjadi usd8 kerana nilai nz dollar jatuh, ia tetap dibayar pada harga usd10. Jadi pengekspot nz akan untung, pembeli malaysia akan rugi. Ini kerana pembelian dibuat berdasarkan kontrak, dan termaktub dlm kontrak transaksi perlu dalam usd dan pada harga yg telah ditetapkan. Komoditi mentah seperti susu dsb akan mendapat keuntungan dari kenaikan usd. Lain lah sekiranya ada perjanjian kontrak yg menyebutkan jualan adalah pada harga apungan. Selalunya dagangan antarabangsa juga dibuat berdasarkan kontrak hadapan (future contract) yg harganya telah dikunci.

Post a Comment