Monday, 28 September 2015

Tiga Faktor #Ringgit Jatuh



TIGA faktor utama dikenal pasti sebagai punca yang menjejaskan ringgit pada masa ini oleh ahli-ahli panel ketika sesi perbincangan sempena pembentangan Laporan Terkini Ekonomi Malaysia 2015 pada Isnin lalu.

Tiga faktor itu ialah pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS) disebabkan jangkaan negara itu akan menaikkan kadar faedahnya, kelembapan ekonomi negara perdagangan utama Malaysia iaitu China dan kejatuhan harga minyak dunia memandangkan Malaysia merupakan pengeksport minyak bersih.

Walaupun terdapat beberapa dakwaan yang mengaitkan syarikat pelaburan strategik kerajaan, 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) sebagai antara punca yang menjejaskan ringgit, namun pada sesi yang berasingan, tiga agensi penarafan dunia berpandangan sebaliknya.


Tiga agensi penarafan dunia yang berpangkalan di AS, Fitch Ratings, Moody’s dan Standard & Poor’s (S&P) ketika wakil masing-masing menjadi ahli panel menjelaskan isu 1MDB bukan menjadi pertimbangan utama pelabur-pelabur asing terhadap negara ini, sebaliknya lebih dipengaruhi isu persekitaran ekonomi dunia khususnya harga minyak.

Paling ketara apabila Ketua Kedaulatan Global Fitch Ratings, James McCormack berkata, isu yang menyelubungi 1MDB tidak terlalu menjejaskan sentimen pelabur-pelabur asing terhadap Malaysia berbanding rakyat negara ini sendiri.

“Misalnya di AS, saya mengadakan perjumpaan dengan pelabur-pelabur di sana dan mereka tidak mengetahui syarikat 1MDB. Langkah untuk menurunkan penarafan Malaysia dalam penilaian kami tidak terlalu bergantung kepada isu 1MDB, tetapi lebih berkaitan impak perubahan ekonomi dunia terhadap Malaysia dan kemampuan kerajaan membayar hutang,” katanya.

McCormack berkata, walaupun aspek kestabilan politik (termasuk 1MDB) turut diambil kira ketika memberi penilaian terhadap Malaysia, namun negara ini mempunyai kejayaan tersendiri untuk memperbaiki kedudukan kewangan kerajaan dengan pelaksanaan program rasionalisasi subsidi dan pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Jelas Penganalisis Kanan Moody’s, Christian De Guzman pula, kerajaan mengambil langkah yang berani untuk memperbaiki kedudukannya dengan menghapuskan subsidi dan melaksanakan GST di sebalik terdapat sentimen negatif rakyat.

“Malah sejak Pilihan Raya Umum pada 2013, kerajaan (Barisan Nasional) berjaya memperlihatkan banyak usaha untuk memperbaiki kedudukan fiskal negara, namun pada masa sama masih dapat mengawal inflasi,” katanya.

Kestabilan politik di Malaysia sedikit terganggu pada masa ini, tetapi katanya masih terlalu awal untuk meletakkan negara ini mempunyai ancaman politik yang besar. Bagaimanapun jelasnya, kestabilan politik tidak boleh diabaikan memandangkan jiran terdekat, Thailand mengalami kemerosotan ekonomi akibat situasi kacau-bilau politik.

Pengarah S&P, Phua Yee Farn berkata, Malaysia mempunyai daya tahan ekonomi yang baik dan berdasarkan penilaian agensinya pada awal tahun ini hanya mendapati pendedahan negara ini terhadap sektor minyak dan gas (O&G) hanya 20 peratus sahaja, sekali gus membolehkan negara ini bertahan kesan daripada kemerosotan harga minyak dunia.



No comments:

Post a Comment