Monday, 30 November 2015

Kedudukan kerusi timbalan presiden UMNO kekal



Tiada perubahan kedudukan kerusi Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2015, yang bermula 8 Disember ini. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata seperti kelaziman perhimpunan agung parti sebelum ini, kedudukan kerusi timbalan presiden adalah bersebelahan kerusi presiden. "Timbalan presiden mesti duduk di sebelah kanan presiden. Naib presiden satu mesti duduk di sebelah kanan timbalan presiden begitu juga naib-naib presiden lain," katanya. 
 
Beliau berkata demikian kepada media Malaysia ketika mengulas mengenai kedudukan susun atur kerusi kepimpinan UMNO berikutan situasi semasa selepas menghadiri majlis penutupan Mesyuarat Ketua-Ketua Negara Komanwel (CHOGM) di sini, hari ini. Ahmad Zahid berkata, kedudukan itu mestilah dihormati oleh semua pihak kerana ia adalah hierarki dalam parti. Beliau juga menegaskan UMNO sebuah parti dinamik yang mendengar pandangan pelbagai tokoh atau mereka yang pernah menjadi tokoh di dalam UMNO. 
 
Namun, beliau melihat masalah ketidakadilan berlaku apabila keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti terhadap seseorang dalam parti, dianggap sebagai suatu penganiayaan. "Namun, yang penting ialah kebersamaan mendukung kepimpinan. Perbezaan pendapat biarpun diraikan, akhirnya UMNO diperkukuhkan...pemimpin itu hendaklah diberi sokongan sepenuhnya," katanya. Menurut Ahmad Zahid, apabila sesuatu keputusan itu dibuat, ia perlu dihormati dan semangat itu harus ada pada kepimpinan UMNO sama ada di peringkat nasional, negeri, bahagian atau akar umbi. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/101018

No comments:

Post a Comment