Wednesday, 4 November 2015

Perodua lancar model baru Alza, Myvi



Perusahaan Automobil Kedua Sdn Bhd (Perodua) melancarkan varian model baharu Alza S dan Myvi Premium XS 1.3 liter dengan menawarkan nilai yang lebih besar dari segi rupa dan fungsi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Aminar Rashid Salleh, varian baru, Alza S dan Myvi Premium XS 1.3 liter, adalah hasil daripada usaha yang berterusan untuk meningkatkan penawaran produk selaras dengan pilihan pengguna.

"Varian terbaru ini akan melengkapkan model Alza dan Myvi sedia ada manakala harga yang ditawarkan diharap dapat menarik pelanggan untuk menjadi sebahagian daripada 2.5 juta pelanggan sedia ada.

"Dengan pengenalan dua varian baru ini, kami menjangkakan jumlah jualan bulanan kami untuk Alza dan Myvi mencecah 3,400 unit dan 7,500 unit masing-masing," kata Aminar.

Perodua Alza S, yang menggantikan varian Alza standard didatangkan dengan skirting depan, belakang dan sisi , spoiler belakang, combi belakang dengan kanta jelas dan lampu kabus di bahagian luar.

Di samping itu, bahagian dalamnya dilengkapi dengan stereng kulit termasuk suis audio, sistem audio dengan USB & Bluetooth dan panel meter dengan pencahayaan putih.

"Walaupun Alza S telah menambah ciri-ciri, (OTR) harga atas jalan masih sama seperti varian standard Alza," kata Aminar.

Sementara itu, bagi Myvi Premium XS 1.3 liter, Perodua memperkenalkan imej sporty dengan skirtings GearUp di bahagian depan, sisi dan belakang, serta projektor lampu depan dengan lampu panduan.

"Ini akan memberikan pelanggan Myvi lebih pilihan jika mahukan yang lebih sporty pada harga yang berpatutan," kata Aminar.

Harga yang ditawarkan bagi Alza adalah RM52,332 untuk transmisi manual dan RM55,332 untuk transmisi automatik, manakala Myvi Premium XS 1.3 liter berharga RM48,862.16 dan hanya boleh didapati dalam transmisi automatik.-SINAR HARIAN

No comments:

Post a Comment