Monday, 2 November 2015

Sukarelawan JPAM sedia hadapi banjir

KUALA LUMPUR - Sebanyak 200 anggota sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Kuala Lumpur bersiap sedia untuk dikerah bagi membantu operasi banjir di tiga buah negeri di Pantai Timur, akhir tahun ini.

Pengarah JPAM Kuala Lumpur, Lt Kol (Pertahanan Awam), Mohd Zubir Mohd Juzad berkata, sukarelawan berkenaan akan berkumpul di pusat kawalan operasi daerah dalam tempoh tiga jam selepas menerima panggilan daripada pusat itu.

"Sukarelawan yang dipanggil akan melapor diri di tiga pusat kawalan operasi daerah di sekitar Kuala Lumpur iaitu di Cheras, Jalan Padang Tembak dan Dang Wangi sebelum bergerak ke kawasan terjejas banjir," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika meninjau latihan pengendalian bot yang dijalankan oleh Pejabat Daerah JPAM Dang Wangi di Tasik Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Sungai Besi, di sini.

Sebanyak 40 anggota sukarelawan berserta pegawai daripada pejabat daerah berkenaan terlibat dalam latihan itu seiring dengan usaha JPAM untuk memantapkan kemahiran anggotanya dalam menghadapi musim tengkujuh kelak.

Mohd Zubir menjelaskan semua anggota sukarelawan yang terlibat dalam menggalas operasi di kawasan terjejas akibat musim tengkujuh bakal dilindungi insurans di bawah Tabung Amanah Perwira Negara.

Dalam pada itu, katanya cuti pegawai JPAM Kuala Lumpur akan dibekukan sekiranya keadaan banjir berada pada tahap kritikal.

Katanya selain latihan yang dijalankan, persiapan menghadapi musim tengkujuh turut diadakan dari semasa ke semasa antara lain perbincangan bersama pihak berkuasa tempatan serta agensi terlibat yang menjurus kepada aspek pengurusan bencana alam. - Bernama

No comments:

Post a Comment