Friday, 4 November 2016

#Misuari dan Penipuan Lagi:Haruskah Anda Percaya Pada Pengganas Dari Filipina Ini?


Nur Misuari semalam telah menyatakan kepada media Filipina bahawa pegawai Malaysia telah menjadi dalang kepada penculikan di Pulau Sipadan, Sabah pada tahun 2000 namun masih belum mengemukakan bukti siapakah pegawai dari Malaysia itu sehingga kini.

Misuari yang telahpun berumur 77 tahun memang dikenali sebagai seorang opportunis yang telah mengaut jutaan wang hasil penculikan dan juga penipuan sehinggalah penipuannya terbongkar ke media. 

Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) menyatakan kekesalan mereka atas dakwaan terbaru Misuari terhadap Malaysia dan berharap dakwaannya tidak menjejaskan hubungan akrab yang telah terjalin antara Malaysia, MILF dan Filipina. 

Misuari sebelum ini telah membohongi media dengan dakwaan kononnya Kerajaan Malaysia telah menggunakan MILF bagi memperkukuh tuntutannya ke atas Sabah dan bertanggungjawab mendorong perpecahan di kalangan rakyat Moro. Ketua Sekretariat MILF, Mohammad Ameen berkata, dakwaan itu adalah satu pembohongan dan palsu semata-mata. "Misuari melakukan dosa berat kerana membuat kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan cuai terhadap MILF dan kerajaan Malaysia," beliau disebut sebagai berkata oleh Pusat Berita Luwaran. 

Serangan lisan terbaru Misuari itu disiarkan sewaktu lawatan beliau di Malacanang atas jemputan oleh Presiden baharu Filipina Rodrigo Duterte. Ameen mengingatkan Misuari bahawa Malaysialah yang telah menggesa pembentukan Persidangan Perpaduan Bangsamoro (BSC) pada 2002 demi menyatukan pelbagai puak dalam MNLF dan MILF dan menggalakkan pendirian bersama di kalangan mereka terutama untuk berurusan dengan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC). "Bagaimana pula boleh menggunakan MILF bagi mengukuhkan tuntutannya ke atas Sabah, bila Sabah tidakpun menjadi sebahagian daripada agenda rundingan damai sejak 2001?" kata Ameen. 

Ameen turut memberitahu Misuari bahawa Malaysia tidak pernah menawarkan diri untuk mengatur rundingan damai Kerajaan Filipina-MILF (GPH-MILF), tetapi Presiden Gloria Macapagal-Arroyo pada 2001 yang meminta Malaysia bertindak sebagai orang tengah antara dua pihak berkenaan setelah rundingan diadakan semula, selepas Presiden Joseph Estrada melancarkan perang terhadap MILF pada tahun 2000. Presiden Arroyo, dalam lawatan luar negaranya yang pertama sejak menjadi presiden selepas penggulingan Presiden Estrada, telah berkunjung ke Kuala Lumpur untuk secara rasmi meminta Malaysia mengatur rundingan damai GPH-MILF. "Malaysia setakat memberi respon ikhlas terhadap permintaan jiran yang baik," jelas beliau. 

Misuari pada 2013 telah dilihat mengadakan pertemuan dengan bekas Ketua Pembangkang Malaysia, Anwar Ibrahim di sebuah hotel Crowne Plaza di Jakarta dan dikatakan dalang di sebalik kejadian keganasan di Lahad Datu, Sabah yang sehingga kini terpahat dalam ingatan rakyat Malaysia. 

Ameen berkata lagi bahawa Misuari begitu beria-ia menyokong tuntutan Sabah sekarang sedangkan beliau tidak pernah menimbulkan isu itu sepanjang 21 tahun rundingan damainya dengan kerajaan Filipina. Sementara Perjanjian Damai Muktamad Kerajaan Republik Filipina-MNLF (GRP-MNLF) pada 1996 tidak pernah merujuk kepada tuntutan Sabah.

Ternyata dendam Misuari dengan Malaysia masih lagi berlanjutan dengan tuduhan terbaru beliau, seolah-olah ada sesuatu yang beliau inginkan daripada kerajaan Malaysia. Ramai bekas pengikut beliau percaya Misuari sebenarnya gilakan jawatan namun bangsa Moro sendiri sudah menolak dan menyisih beliau daripada memimpin mereka atas sebab keganasan dan ketamakan beliau mengumpul harta untuk kegunaan sendiri.



No comments:

Post a Comment